Jenama radio Era memperkukuhkan kedudukan dengan kewujudan segmen baharu, Era D’Boyz manakala, jenama radio SINAR dan ZAYAN tampil memperkenalkan personaliti-personaliti baharu untuk segmen Duo Sinar dan Zayan Valet.

Pada Julai 2019, Radin dan Danial mula bergandingan mengendalikan Era D’Boyz pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 4 petang hingga 8 malam.

Radin dan Danial membawakan pelbagai pengisian baharu termasuklah 'Chef 2 Gossip' yang memaparkan topik isu semasa dan cerita artis tempatan mahupun antarabangsa yang di lakonkan dengan cara memasak, 'Can Sing Arr?' dimana peminat berkesempatan untuk menyanyi bersama Danial di radio dan 'D’Boyz Polls' yang menampilkan interaksi bersama peminat menerusi laman sosial.

Gandingan Era D’Boyz merupakan perkembangan terbaharu jenama radio Era untuk memastikan peminat-peminat di waktu petang dihibur dengan lawak jenaka dan cerita-cerita santai yang bermanfaat.

Bermula 15 Julai 2019, Sinar tampil memperkenalkan dua personaliti baharu untuk segmen Duo Sinar, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 3 petang hingga 7 malam iaitu Hefny Sahad dan Siti Elizad.

Hefny dan Elizad akan bersama peminat untuk pelbagai segmen menarik seperti 'Kisahnya!' yang memaparkan topik berkaitan cerita viral di media sosial, 'Kanda vs Dinda' yang menampilkan perlawanan antara dua pasangan berdasarkan tugasan yang ditentukan oleh Hefny dan Elizad, 'Korus Sinar' platform nyanyian untuk peminat menunjukkan bakat dan 'Cer Cite Duo' membincangkan pelbagai topik menarik bersama peminat untuk melihat reaksi dan pendapat mereka.

Gandingan pengacara lelaki dan pelakon wanita ini akan menceriakan lagi hari-hari anda dengan telatah mereka bersama tetamu jemputan di studio.

Zayan memperkenalkan Azhar Hilmi selaku personaliti baharu yang mengendalikan Zayan Valet pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 3 petang hingga 7 malam.

Sebelum ini, Azhar pernah menyertai rancangan realiti Pencetus Ummah pada tahun 2015 dan menjadi pengacara untuk Hadith Open Mic selama tiga musim.

Azhar membawa kelainan apabila menerapkan elemen nyanyian dalam penceritaan untuk berinteraksi bersama peminat di radio. Waktu petang ditemani Azhar dalam membincangkan topik '#NakTanyaIkhlasNi', peminat diberi kesempatan untuk bertanyakan soalan dan memberi pandangan kepada Azhar berkaitan topik yang dikupas olehnya dan '#KajiNgaji', di mana Azhar akan memperdengarkan bacaan Al-Quran dan berkongsi terjemahan bersama peminat-peminat Zayan di radio.