HIBURAN
Erika Carlina Selamat Bersalin, DJ Panda Tak Dibenar Jenguk Anak - "Tak Mengapa Saya Akan Cuba Lagi"
Hubungan tegang antara selebriti Erika Carlina dan DJ Panda kembali mencuri perhatian ramai selepas kelahiran anak sulung Erika, Andrew Raxy Neil.
DJ Panda, atau nama sebenarnya Giovanni Surya Saputra, dilaporkan hadir ke Hospital Pondok Indah, Jakarta Selatan pada Sabtu bersama bapanya dengan niat untuk menziarahi Erika dan bayinya.
Namun kunjungan tersebut berakhir dengan penolakan.
Ketika cuba menziarahi Erika, DJ Panda memaklumkan kepada media bahawa pihak hospital memaklumkannya tidak dibenarkan untuk melawat.
“Tadi receptionist kata tak boleh dijenguk,” katanya kepada Starpro Indonesia pada Ahad.
DJ Panda dilihat hadir dengan memakai kemeja-T putih dan seluar santai, membawa beg galas hitam bersama keychain berbentuk panda.
Dia juga membawa hadiah besar berbalut kertas kuning serta kelengkapan ibu dan bayi dari jenama terkenal, namun kesemua hadiah itu tidak diterima dan terpaksa dibawa pulang.
Walaupun kelihatan murung, DJ Panda tetap berlapang dada dan menyatakan hasrat untuk terus mencuba berjumpa Erika dan bayi mereka.
“Tak mengapa. Saya akan cuba lagi untuk bertemu Erika dan Baby Andrew,” katanya sambil menegaskan niatnya hanya untuk mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan mereka.
Erika telah selamat melahirkan anak lelakinya melalui pembedahan caesarean pada Jumaat, 1 Ogos.
Nama Andrew Raxy Neil dikatakan telah dipilih sejak awal kehamilan selepas mengetahui jantina bayi tersebut.
Erika pernah mengejutkan industri hiburan apabila mengaku secara terbuka sedang hamil anak luar nikah dan memilih untuk berterus terang kepada peminat walaupun sedar bakal dikecam.
Pelakon itu turut mendedahkan lelaki yang menghamilkannya menganggap hubungan mereka sekadar gimik dan pernah mengugut untuk merosakkan kerjayanya.
DJ Panda akhirnya mengaku sebagai bapa kepada anak luar nikah Erika, selepas sebelum ini menafikannya. Dalam siaran langsung, DJ Panda mendedahkan hubungan mereka bermula ketika mabuk pada November 2024 dan berakhir selepas Erika membatalkan rancangan perkahwinan serta meminta identitinya dirahsiakan.
Must-Watch Video