Pengarah, penerbit dan pelakon Erma Fatima meluahkan hasrat untuk menjemput Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk datang menonton teater Pawana Isabella yang sedang berlangsung.

Kata Erma, golongan belia perlu mengenali asal usul sejarah tanah air, dalam masa yang sama memahami mesej yang ingin disampaikan.

"Saya punya harapan memang pada Syed Saddiq. Bawalah anak-anak muda di bawah Kementerian Belia Dan Sukan untuk datang menonton.

"Dia sebagai seorang pemimpin belia patut bawa sebab mereka perlu kenal asal usul sejarah tanah air kita.

"Harap mereka juga dapat memahami apa yang kita cuba sampaikan di atas pentas itu.

"Moga-moga terbuka hati pemimpin negara kita terutamanya Syed Saddiq," katanya kepada Gempak.

Erma ditemui usai pementasan teater Pawana Isabella yang diadakan di Istana Budaya pada malam Rabu lalu.

Tambahnya, dia berharap semua pemimpin Malaysia akan hadir untuk memberi sokongan kepada orang-orang seni.

"Saya memang nak jemput semua pemimpin Malaysia untuk datang.

"Insya-Allah Tun Mahathir akan datang tapi saya berharap sangat mereka yang lain boleh datang dan tonton teater ini.

"Malah, saya suka sangat kalau mereka semua datang dalam pada masa yang sama boleh memberi sokongan kepada orang-orang seni macam kami," tambahnya lagi.

Teater Pawana Isabella mula dipentaskan mulai 21 hingga 31 Ogos di Istana Budaya.

Teater arahan Erma Fatima ini dibintangi oleh Syafiq Kyle, Janna Nick, Datuk Afdlin Shauki, Azar Azmi, Johan dan Ozlynn.