Pengarah, penerbit, pelakon dan usahawan popular, Erma Fatima kini membuka satu lagi cabang perniagaan terbaru melalui Rumah Budaya 'Culture House' di Menara Kuala Lumpur.

Rumah budaya tersebut menyediakan perkhidmatan menyewa kostum tradisional, melakukan aktiviti kebudayaan dan bermacam lagi.

Menurut Erma, dia mendapat inspirasi apabila melihat pakaian tradisional Jepun dan Korea yang mendapat sambutan dari pelancong luar ketika mengunjungi negara mereka.

"Alhamdulillah, Rumah Budaya di bawah kelolaan saya ini baru sahaja beroperasi, saya mahu ketengahkan budaya tempatan kepada pelancong yang datang mengunjungi negara kita.

"Saya mendapat inspirasi apabila melihat pakaian tradisional Jepun dan Korea yang mendapat sambutan yang sangat baik dari pelancong yang datang ke negara mereka.

"Bukan hanya pakaian, Rumah Budaya ini juga menyediakan pelbagai aktiviti dan pendedahan terhadap budaya kita kepada pelancong asing," kata Erma.

Erma ditemui di sidang media Rumah Budaya 'Culture House' bertempat di Menara Kuala Lumpur petang tadi.

Dalam pada itu, Erma turut merancang untuk meluaskan empayarnya itu di masa akan datang.

"Insya-Allah, selepas ini saya akan membuka cawangan Rumah Budaya ini di lokasi-lokasi pelancongan di luar Kuala Lumpur pula, semoga semuanya berjalan dengan lancar," tuturnya menutup bicara.