Sejak sekian lama, kolaborasi muzik antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia sering kali berlaku. Hal ini mungkin disebabkan nuansa seninya yang serupa dan juga bahasa pertuturan kita yang tidak banyak berbeza.

Terbaharu, penyanyi Ernie Zakri dipertemukan dalam satu kerjasama bersama band dari seberang, Govinda. Kerjasama tersebut memperlihatkan paduan suara Ernie dan Govinda menerusi lagu Hal Hebat, iaitu lagu dendangan kugiran berkenaan yang pernah hit sekitar dua tahun lalu.

A post shared by @erniezakri


“Proses rakaman bagi lagu ini mengambil masa selama sehari kerana kami perlu mengejar jadual kerja yang agak padat. Komposisi dan susunan muziknya turut diberi nafas baharu oleh penciptanya sendiri, iaitu Ade.

“Sungguhpun ia disesuaikan dengan kehadiran vokal saya, namun ia masih mengekalkan feel yang sama kerana melodi terdahulu sudah cukup sempurna.

“Selain itu, proses penggambaran klip video turut diadakan di Indonesia. Prosesnya berlaku dalam waktu yang agak singkat. Walaupun sedikit penat berkejar ke sana sini, namun apabila melihat hasil akhir Hal Hebat, semuanya sangat berbaloi,” katanya kepada Gempak.

Melanjutkan bicara, Ernie turut berkongsi perasaan buat pertama kalinya bekerjasama dengan band dari seberang.

“Saya belum pernah berkolaborasi dengan mana-mana band sebelum ini, tetapi mereka (Govinda) sangat mesra walaupun baru pertama kali bersua muka.

“Govinda adalah sebuah kumpulan muzik yang berpengaruh dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang muzik. Mereka sangat terkenal dan sudah menempa nama di Indonesia.

“Saya rasakan peluang sebegini tidak seharusnya dipersia kerana bukan mudah untuk band besar seperti mereka mahu berduet dengan artis dari Malaysia seperti saya, tambahan pula menyanyikan semula lagu hit mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, ditanya mengapakah Ernie menjadi pilihan sebagai rakan duet bagi lagu mereka, Ifan dari Govinda berkata: “Saya kira Ernie merupakan salah seorang penyanyi terbaik yang dimiliki oleh Malaysia. Dia mempunyai suara yang luar biasa ketika menyanyikan lagu Hal Hebat.

“Sudah pasti ya, penyanyi yang luar biasa bertemu dengan lagu yang bagus menjadi satu kesatuan yang sempurna bagi saya, yang sangat hebat,” katanya.

Lagu Hal Hebat sudah boleh distrim di pelantar digital Apple Music, Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Ia juga boleh dimuat turut di iTunes.

Sementara itu, klip video Hal Hebat boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.