Ernie & Syamel Selamat Bertunang, Rancang Kahwin Tahun Hadapan

Asraf Aided
Ogos 16, 2020 06:09 MYT

Dua penyanyi terkenal, Ernie Zakrie dan Syamel telah selamat melangsungkan pertunangan.

Ketika dihubungi Gempak, Ernie memaklumkan majlis pertunangan mereka berlangsung di kediaman keluarganya semalam.

"Majlis pertunangan kami berlangsung semalam, ia dihadiri oleh ahli keluarga sahaja, kami tidak mengundang rakan-rakan rapat sekalipun kerana menunaikan permintaan keluarga yang mengutamakan privasi.

"Untuk soal percintaan pula, lebih baik jika saya tunggu selepas bernikah nanti, adalah lebih manis sebegitu," katanya.

Jelas Ernie, dia dan Syamel sebelum ini lebih selesa dikenali sebagai teman rapat kerana hubungan mereka masih belum mendapat sebarang ikatan.

"Sebelum ini, saya dan Syamel lebih selesa dikenali sebagai kawan rapat kerana hubungan kami belum mendapat kepastian, sekarang kami sudah bertunang, sudah tentu saya akan berkongsi kepada orang ramai tentang status kami," katanya lagi.

Tambah Ernie, dia dan Syamel merancang untuk kahwin pada tahun hadapan.

"Kami merancang untuk kahwin tahun hadapan, apabila sudah pasti tentang tarikh majlis, Insya-Allah kami akan maklumkan," tuturnya menutup bicara.

#Syamel #Tunang #Ernie