Hiburan

Ernie Zakri Hilang Suara Di Konsert Aura Live In Concert, Tetap Pukau Peminat Dengan Vokal Luar Biasa – “Ini Titik Terendah Saya Sepanjang Karier”

gempak
Khairil Khusyairi
26/01/2025
07:50 MYT
Sponsor Banner
Ernie Zakri Hilang Suara Di Konsert Aura Live In Concert, Tetap Pukau Peminat Dengan Vokal Luar Biasa – “Ini Titik Terendah Saya Sepanjang Karier”
Penyanyi popular, Ernie Zakri mendedahkan dia mengalami jangkitan Laringitis atau keradangan pita suara sehingga mengakibatkan kehilangan suara di konsert solo pertamanya, Aura Ernie Zakri Live In Concert yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.

Kecewa Tak Dapat Berinteraksi Dengan Peminat

Menurut Ernie, 32, dia mengalami masalah suara sejak seminggu lalu, namun reda dengan persembahannya pada malam penuh istimewa itu demi menghiburkan peminat kesayangan.
Malah, Ernie mengakui sedikit kecewa apabila tidak dapat berinteraksi bersama penonton ketika di atas pentas gara-gara masalah kesihatannya itu.

“Saya terkena jangkitan Laringitis. Saya dah cuba dan jaga yang termampu terutama menjelang konsert tetapi ia terjadi juga.

“Saya dah hilang suara ini dah seminggu tetapi hari ini keadaan masih tak mengizinkan tetapi Alhamdulillah saya dapatkan rawatan sebelum konsert bermula.

“Saya reda dan tawakkal. Ini yang termampu saya beri, diharap peminat suka dan puas hati. Apa yang saya harap adalah saya dapat bercakap dengan mereka. ‘I love to talk with my fans’ tetapi malam itu diuji,” ujarnya kepada Gempak pada sidang media usai konsert.

Disaran Rehat 2 Minggu

Ernie yang menyampaikan lebih 20 lagu pada malam itu turut memaklumkan doktor menyarankannya untuk tidak bercakap demi memastikan peti suaranya tidak terjejas teruk.
“Sebenarnya saya dah disarankan dengan doktor untuk tidak bercakap langsung tetapi saya degil sebab saya tak puas. Ini adalah konsert solo pertama saya.

“Saya takut peminat tak puas, Alhamdulillah, ini semua kerja Allah. Allah beri rezeki untuk bernyanyi malam ini sudah cukup bermakna buat saya.

“Saya beruntung ada penganjur SAH Entertainment yang memahami. Kami berbincang cari penyelesaian untuk beri yang terbaik,” ujarnya yang disaran berehat selama 2 minggu.

Titik Terendah Dalam Karier

Dalam pada itu, Ernie turut mengakui ujian yang dihadapinya itu adalah titik terendah buatnya sepanjang bergelar anak seni.
Namun, ibu kepada seorang cahaya mata itu bersyukur suaminya yang juga penyanyi, Syamel sentiasa berada di sisi.
“Sepanjang tempoh itu, saya tak boleh tiada dia sisi. Dia juga penyanyi jadi dia faham apa yang saya rasa.

“Saya takut, mental yang sangat lemah, saya rasa ini adalah titik terendah saya sepanjang karier. Sebab ini adalah konsert solo pertama saya tetapi saya tahu bagaimana mahu beri pada peminat.

“Ia rezeki Allah. Dari semalam saya berdoa pada Allah, apa hendak jadi, jadi lah, ‘bantai’ saja dan ‘enjoy’,” tutupnya.
Biarpun diuji dengan masalah kesihatan, Ernie tampil memukau dengan persembahan vokalnya yang luar biasa sehingga membuatkan penonton memberi standing ovation.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan Ernie adalah Aura, Jangan Hilang Percaya, Rindu Bukan Teman, Gundah, Misteri, Gelita, Jangan Marah, Ku Bersuara dan Boneka.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan duet yang menampilkan penyanyi Sabronzo menerusi lagu LUV, Ade Govinda untuk lagu Masing Masing dan Hal Hebat.
Kemunculan suami tercinta, Syamel turut menggamatkan lagi suasana apabila pasangan tersebut berpadu suara menyampaikan lagu Die With A Smile dan Aku Cinta.
Malam penuh magis itu turut dihadiri ibu dan bapa saudara Ernie yang juga penyanyi popular, Ziana Zain dan Anuar Zain selain rakan-rakan selebriti seperti Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Aina Abdul dan Daiyan Trisha.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024