HIBURAN
Ernie Zakri Respons Dakwaan Hamil Cahaya Mata Kedua - “Insya-Allah Doakan..”
Penyanyi bervokal mantap, Ernie Zakri tampil menjelaskan dakwaan dirinya kini sedang hamil cahaya mata kedua.
Menurut Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, dia menjelaskan dakwaan itu timbul kerana busana yang digayakannya di konsert Aura: Ernie Zakri Live In Concert di Singapura, Sabtu lalu.
Namun, isteri kepada penyanyi Syamel itu tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki zuriat lagi.
“Saya tidak pernah menolak jika ada rezeki hamil anak kedua, Insya-Allah doa-doakan. Tapi, setakat hari ini, ini adalah makanan. Mungkin sebab baju itu juga yang distrukturkan sebegitu.
“Ia memang sedikit kembung di depan, jadi biasalah peminat memang sangat gembira dan apa sahaja berita yang mereka nampak daripada saya, mereka akan raikan.
“Tapi, awal sangat mereka raikan, saya masih belum maklumkan apa-apa lagi. Apapun saya tidak menolak nak menafikan, jika ada rezeki anak kedua saya okay sahaja,” katanya kepada Gempak.
Ernie ditemui pada sidang media lagu terbaharunya bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito yang berjudul Kisah Penuh Kecewa di pejabat urusan Universal Music Malaysia pada Rabu.
Dalam masa sama, pelantun lagu hits Masing Masing itu mengakui rimas apabila sering dianggap hamil pada awalnya.
“Awal-awal dulu saya ada sedikit rasa rimas, tapi saya memahami juga. Saya faham peminat suka meraikan apa yang membahagiakan untuk kehidupan saya. Saya bersyukur dan perlu melihat daripada perspektif lain juga.
“Saya tak boleh lagi rasa orang cakap saya gemuk dan sebagainya. Saya rasa kurus sahaja, tapi mungkin sebab baju itu. Kadang-kadang bila berhijab ini ada satu kesukaran sedikit untuk berfesyen. Jadi, mungkin niat pereka fesyen untuk memberikan yang terbaik.
“Tapi, saya tetap rasa baik dengan gaun itu, tapi kalau peminat menyangka saya mengandung saya terima sahaja,” jelasnya lagi.
Tambah Ernie, dia dan Syamel kini masih merancang untuk menambah cahaya mata dan dalam masa sama mahu memberi fokus kepada cahaya mata sulung, Nur Khawla Soleha.
“Saya dan suami setakat ini masih merancang disebabkan kerjaya dan membesarkan Khawla yang akan masuk sekolah minggu depan. Jadi, kami harus tengok betul-betul,” tutupnya.
Sekadar info, Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga mereka pada Mac 2021.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Nur Khawla Soleha yang berusia tiga tahun.