Ernie Zakri Sekali Lagi Buat Peminat Terluka Menerusi ‘Kisah Penuh Kecewa’, Duet Bersama Anggi Marito Penuh Emosi - “Lagu Ini Sangat…”
Bawa Mesej Kekuatan
Sarat dengan emosi dan rasa, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, itu berkongsi Kisah Penuh Kecewa adalah sebuah karya ‘power ballad’ yang menyelami luka hati akibat cinta yang tidak kesampaian, namun tetap membawa mesej kekuatan.
"Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan.
“Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran," katanya.
Rakam Ketika Puasa
Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39) itu turut berkongsi proses rakaman lagu yang dijalankan ketika bulan Ramadan lalu.
"Rakaman berjalan dengan baik, tidak banyak cabaran. Cuma ketika itu kita sudah memasuki bulan Ramadan.
“Agak mencabar juga bila tak boleh minum air ketika rakaman. Kalau sakit tekak pun kena tahan. Tapi selain itu, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," kongsinya lagi.
"Saya sangat bangga dapat bekerja dengan Anggi, yang saya anggap salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia. Juga dengan Clara, S/EEK dan IRVNAT, ini adalah projek yang sangat bermakna dalam karier saya tahun ini.
"Lagu ini sangat 'straightforward' dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan dengan mesej lagu ini.
Anggi Kagumi Ernie
Bagi Anggi Marito yang juga pemenang tempat ketiga program Indonesian Idol musim 11, dia menyifatkan kolaborasi Kisah Penuh Kecewa adalah satu penghormatan yang amat besar buat dirinya.
“Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam.
“Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya,” ujar Anggi yang bakal membuat penampilan istimewa di Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 31 Mei ini di The Theatre at Mediacorp, Singapura.