HIBURAN
Ernie Zakri Tinggalkan Momen Manis Di Singapura, Tutup Konsert Aura Penuh Magis - “Saya Harap Dapat Kembali Dengan Skala Lebih Besar”
Sebuah lagi sejarah tercipta buat penyanyi popular, Ernie Zakri yang berjaya mementaskan konsert solo sulung, Aura Ernie Zakri Live In Concert di The Theatre Mediacorp, Singapura.
Melangkah ke pentas dengan penuh berkarisma, Ernie yang hadir dengan aura penuh pesona itu memulakan nyanyian dengan mengalunkan lagu Aura sebagai pembuka acara dihadapan kira-kira 1,400 penonton sekaligus membuktikan dirinya adalah seorang penghibur sejati.

Anggun dengan busana sarat batu permata, Ernie membuka langkah berani dengan menyampaikan lagu Persis Katarsis dan Boneka.
“Masya-Allah, konsert solo sulung saya di Singapura. Sebenarnya sudah banyak kali datang tetapi hendak buat konsert solo ini… tak pernah terfikir.
“Berada di negara orang, menghiburkan orang-orang disini, terima kasih saya ucapkan buat semua yang hadir,” tutur Ernie atas pentas.
Bahang malam penuh istimewa itu terus dirasai apabila Ernie menyanyikan lagu-lagu yang dipetik dari album kedua, Aura seperti, Gelita dan Tercipta Sempurna lalu membawa penonton larut dalam dunia muzik Ernie.
Vokal pemenang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) terus memukau apabila menyampaikan seleksi lagu hits seperti Misteri, Gundah, Astana, Korban, Jangan Hilang Percaya, Ayuh dan Masing-Masing.
Ernie yang kini sedang mencipta nama di negara seberang itu turut menyanyikan dua buah karya baharunya buat pertama kali iaitu Nostalgia dan Kisah Penuh Kecewa duet bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito.

Anggi Marito turut membuat penonton terbuai dalam emosi apabila menyampaikan lagu popularnya, Tak Segampang Itu dengan penuh penghayatan.
Kehadiran penyanyi Syamel sebagai penyanyi jemputan terus membuat ruang dewan menjadi lebih hangat apabila menyampaikan lagu hitsnya, Lebih Sempurna.
Tidak lengkap jika pasangan ‘power vocal’ ini tidak berpadu suara bersama, Ernie dan Syamel memukau dengan berduet menyampaikan lagu ikonik mereka, Aku Cinta.

Berjaya membuat banyak hati jatuh cinta pada malam penuh magis itu, Ernie menutup konsert Aura yang diibawakan SAH Entertainment itu dengan menyampaikan lagu keramatnya, Ku Bersuara dengan penuh bertenaga.
Lebih manis, lagu mega hits Masing-Masing sekali lagi dipilih Ernie untuk dijadikan encore bernyanyi bersama penonton.
Ernie menyampaikan seleksi 23 buah lagu bersama keindahan alunan muzik pimpinan pengarah muzik, Genervie Kam.
“Orang Singapura sangat istimewa, saya rasakan suasana yang sangat berbeza tetapi saya masih merasakan kasih sayang yang sama dari semua.
“Saya puas akhirnya saya dapat bercakap dengan penonton biarpun masa itu sangat mencemburui. Kami ada had dari sudut masa, tapi saya harap saya beri mereka semua gembira.
“Alhamdulillah malam ini sangat bermakna buat saya sepanjang karier saya. Semoga saya boleh kembali lagi dengan skala yang lebih besar,” katanya kepada Gempak usai konsert.

Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39) itu turut berkongsi dia kini sedang sibuk menyiapkan album kolaborasi bersama penyanyi-penyanyi Malaysia dan Indonesia yang berjudul Sahabat yang dijangka bakal menemui peminat pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Aura Ernie Zakri Live In Concert Singapura berjaya menghadirkan sebuah persembahan yang akan dikenang manis oleh peminat. Ernie membuktikan dirinya adalah seorang penghibur terbaik industri muzik.
Semoga Ernie terus berkarya dengan cemerlang dalam menjadi penghibur sejati kepada penggemar muzik tanah air dan antarabangsa.
Must-Watch Video