Pelakon dan penyanyi jelita Erra Fazira dalam diam menaruh hati kepada penyanyi kelahiran Singapura, Taufik Batisah.

Aksi Erra meminati Taufik dalam diam boleh disaksikan menerusi filem terbaru terbitan FiTA Studios, Soulmate Hingga Jannah.

“Menerusi filem tersebut, saya membawa watak sebagai Ira yang meminati sahabat baik saya semenjak zaman university, Azmeer, lakonan Taufik. Saya meminati Taufik tetapi dia langsung tidak sedar akan perkara tersebut,” kata Erra.

Turut menjalani penggambaran di luar negara, Erra menjelaskan yang proses penggambaran berjalan dengan lancar di bawah arahan Professor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen.

“Selain menjalani penggambaran di Malaysia, kami juga turut berangkat di Chiang Mai, Thailand selama 10 hari. Kru produksi dan pelakon-pelakon lain sangat komited dengan kerja dan proses penggambaran menjadi sangat mudah.

“Saya pernah bekerja dengan Razak semenjak saya bergelar anak dara sehingga kini. Dia merupakan seorang pengarah yang tahu apa yang dia mahukan. Saya gembira dan selesa bekerja dengan Razak,” katanya lagi.

Filem Soulmate Hingga Jannah yang dijayakan Erra bersama Taufik Batisah, Raja Ilya, Reen Rahim dan Douglas Lim ini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 16 Februari 2017.

Sumber: HLive
Olahan oleh: Kamaruddin Razal