Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Mohamad Zulkifli Al-Bakri mencuri perhatian wargamaya apabila berkongsi foto majlis pernikahan Erra Fazira dan suaminya.

Namun Erra Fazira yang dimaksudkan bukanlah primadona filem negara, tetapi wanita dengan nama yang sama.

Menerusi laman sosial Twitter, Dr Zul memantau majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan oleh pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) sebentar tadi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.



“Tahniah Puan Erra Fazira dan suami atas pernikahan sebentar tadi. Ia berlangsung di pejabat JAWI dalam tempoh tidak melebihi 20 minit dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak JAWI,” tulis Dr Zul menerusi ciapan berfoto.

Beliau pada awalnya turut terkejut dengan nama individu tersebut kerana menyangkakan pelakon Erra Fazira yang telah diijab kabul.

“Nama kebetulan sama, namun bukan individu yang disangka. Saya pun mula-mula terkejut. Ingatkan pelakon filem Sembilu tu,” tulis beliau lagi.

Dr Zul juga sempat menitipkan doa agar kedua-dua mempelai berbahagia sentiasa dan memperoleh zuriat.

“Moga ikatan perkahwinan diberkati Allah SWT, berbahagia dengan pasangan masing-masing dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah,” ucap beliau lagi.