HIBURAN
Erra Fazira Selesa Kongsi Hubungan Bersama Mr. E, Minta Netizen Terus Mendoakan - “Apa Yang Penting Adalah Kehidupan Selepas…”
Pelakon dan pengacara, Erra Fazira mengakui semakin selesa berkongsi berkenaan hubungannya bersama ahli perniagaan, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr. E.
Jelas Erra atau Fazira Wan Chek, 51, dia merasakan tiada apa yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum ketika ini.
"Kalau cakap semakin terbuka, ya. Saya lebih yakin, mungkin sebab faktor usia. Saya pun tidaklah keterlaluan dan mahu nikmati sahaja kehidupan ketika ini," katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, pengacara program Borak Seeni itu juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak berhenti mendoakan kebahagiaannya.
“Itu yang kita harapkan, doakan yang baik-baik. Saya pun tidaklah ingin terlalu menunjuk sangat sebab saya juga sayangkan privasi saya tetapi ada masa saya juga mahu menjalani kehidupan seperti orang biasa.
“Jadi kepada mereka yang mengikuti dan mendoakan saya, teruskan berdoa kerana saya harap ia bukannya sampai ke jinjang pelamin sahaja yang penting adalah kehidupan selepas berkahwin itu,” tambahnya.
Erra juga memaklumkan bahawa sesi live dia bersama dengan Mr.E tempoh hari adalah sekadar untuk mempromosikan juadah berbuka puasa.
“Sebenarnya saya datang hari itu hanya untuk memberi sokongan kepada kawan saya untuk memwar-warkan juadah buffet ramadan jadi saya rasa mengapa tidak dia turut serta untuk promote, itu sahaja tujuan dia.
“Kalau saya rasa dia tidak sesuai untuk diketengahkan saya pun tidaklah ajak dia buat live ke apa, cuma saya rasa ia bagus untuk diri dia sebab sekurang-kurangnya membantu untuk mewar-warkan mengenai perniagaanya.
“Saya pun rasa dia tidak ada masalah untuk bercakap di hapadan kamera kerana skill PR dia pun bagus, dia pun kenal rakan-rakan wartawan, dia okay,” kata Erra kepada Gempak.
Terdahulu, Erra Fazira pernah dikaitkan dengan penyanyi Shahir Zawawi, yang kini telah mendirikan rumah tangga.
Dalam sejarah peribadinya, Erra mendirikan rumah tangga dengan pengarah Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003 sebelum berpisah pada 2006.
Dia kemudiannya berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, yang kini berusia 16 tahun.
Namun, perkahwinan itu juga berakhir dengan perceraian pada 2014.