HIBURAN

Erysha Emyra Restu Noniswara Cari Pasangan Baru - “Kami Sebagai Anak-Anak Tidak Mahu…”

Asyraf Roslan 13/03/2025 | 01:55 MYT

Pelakon Erysha Emyra tidak menolak sekiranya ibunya, Datin Seri Noniswara ingin mendirikan rumah tangga semula.

Menurut Erysha, sebagai anak dia sentiasa menyokong keputusan ibunya dan berharap ibunya bertemu dengan seseorang yang benar-benar ikhlas untuk menjaganya.

“Dia memang ada beritahu sekiranya ada jodoh yang datang dia tidak tertutup hati untuk menerimanya dan kami sebagai anak-anak okay sahaja asalkan dia memilih seseorang yang boleh menjaga dia dan pastinya dia akan memilih seseorang yang seusia denganya.
“Tapi apa yang penting orang itu boleh menjaga dia dari pelbagai aspek,” kata Erysha kepada Gempak.
Pada masa sama, pelakon drama Cinta Wrong Direction itu turut menegaskan bahawa dia tidak pernah menetapkan sebarang kriteria khusus bagi ibunya dalam memilih jodoh baharu.

Namun, Erysha atau nama sebenarnya Nur Erysha Emyra Zakaria berharap agar individu yang ingin bersama ibunya benar-benar mempunyai niat ikhlas untuk hidup bersama, bukan atas sebab lain.

“Kami sebagai anak-anak tidak mahu meletak kriteria apa-apa cuma kalau boleh biar orang itu ikhlas untuk bersama dengan dia, sebab sekarang susah kita nak tahu apa niat orang untuk berkenalan dengan kita.
“Jadi saya hanya berharap orang yang mahu mengenali dia itu ikhlas dan betul-betul nak hidup dengannya,” tambahnya.
Terdahulu, pelakon, Datin Noniswara mengakui masih mempunyai naluri untuk mendirikan rumah tangga selepas kehilangan suami tercinta, Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad.
Namun buat masa ini Noniswara masih belum bertemu dengan insan yang boleh mengisi ruang kosong dalam hatinya itu.

#Berkahwin #Noniswara #Erysha Emyra