Sempena dengan penganjuran konsert mereka yang berjudul Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless, kumpulan popular dari Indonesia, Ungu berhasrat untuk menjayakan persembahan bersama kumpulan muzik tersohor Exists.

Vokalis Ungu, Pasha berkata, Exists merupakan salah satu band Malaysia yang sangat popular di negaranya dan sudah lama dia menyimpan hasrat untuk bertemu dengan kumpulan itu.

“Saya sangat suka lagu-lagu Exists sebab di zaman saya dulu, mereka sangat popular di Indonesia. Mereka merupakan idola saya. Kalau Amy (Amy Search) tak perlu diperkatakan lagi, dia juga cukup diminati.

BERITA TRENDING: Pasha Ungu Kembali Aktif Politik Sebab Mahu Bantu Rakyat

“Amy itu dari dulu sampai sekarang, orang masih tahu. Masih suka lagunya sama juga dengan Wings dan Slam. Tapi Exists ini saya suka lagunya namun belum pernah jumpa orangnya.

“Kalau artis baharu pula, saya tidak kenal dan tidak update. Tapi kalau ada cadangan daripada peminat, boleh diusahakan. Kalau boleh, biarlah penyanyi wanita sebab Ungu ada lagu seperti Terlanjur Cinta dan Tercipta Untukku,” katanya kepada Gempak pada sidang media pengumuman konsert berkenaan di ibu kota pada Rabu.

Bercakp mengenai konsert, Ungu berjanji untuk memberikan persembahan yang menarik untuk peminat.

“Kuala Lumpur ini diibaratkan seperti rumah kedua buat kami. Jadi, kami berasa senang untuk kembali dan menghiburkan peminat.

“Hasil perbincangan dengan penganjur, kami akhirnya mencapai kata sepakat Ungu Live In Kuala Lumpur akan menyaksikan kami dengan 30 karya paling unggul yang pernah diciptakan Ungu akan dipersembahkan kepada peminat, Insya-Allah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pasha menambah, mereka bakal menyampaikan medley lagu-lagu popular dari Malaysia dan Indonesia sebagai salah sebuah hadiah untuk penonton nanti.

Selain Pasha, Ungu yang ditubuhkan pada 1996 di Jakarta ini turut dianggotai oleh Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (Bass), Rowman (dram).

Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Februari depan. Tiket berharga bermula RM138 hingga RM338 bakal dijual bermula Jumaat menerusi www.ticket2u.com.my.