GAYA HIDUP

The Experts: Buncit Bukan Tanda Bahagia Tapi ….

Asyraf Roslan 14/06/2025 | 12:55 MYT

Ramai beranggapan perut buncit, khususnya dalam kalangan lelaki berumah tangga sebagai simbol ‘bahagia’ namun hakikatnya ia mungkin petanda tubuh sedang berdepan tekanan yang serius.

Menurut pencipta kandungan, Muhammad Noor Zakaria atau Mdno, perut buncit sebenarnya boleh dikaitkan dengan paras hormon kortisol yang tinggi yang dirembeskan tubuh apabila berada dalam keadaan stres.

“Ramai orang selalu fikir kalau buncit itu bahagia, tapi anda silap. Sebenarnya kalau ada lelaki terutamanya golongan suami buncit dia sebenarnya sedang tertekan atau stress, berkemungkinan dia tinggi Kortisol.

“Badan kita ini ada satu mekanisme apabila kita menghadapi stres ia akan merembeskan hormon ini untuk bersedia melakukan sesuatu. Jadi ia akan meninggikan kita punya kadar gula, degupan jantung sebab nak bersedia untuk fight or flight.
“Zaman sekarang kebanyakan dari kita rasa tertekan kerana kerja, hal rumah tangga, ekonomi dan macam-macam lagi. Bila kita sentiasa tertekan badan kita akan sentiasa mengeluarkan hormon ini.
Tambahnya, apabila hormon kortisol tinggi dalam badan, ia akan meningkatkan paras gula dalam darah.
Ini seterusnya merangsang pengeluaran hormon insulin, yang akan menukarkan gula berlebihan tersebut kepada lemak khususnya di bahagian perut.
“Bila hormon kortisol ini tinggi dalam badan ia akan meningkatkan kadar gula dalam badan, dan akan menyebabkan hormon insulin pula keluar untuk mengawal gula tersebut jadi ia mengubah gula tersebut menjadi lemak sebab itu perut menjadi buncit.
“Hormon kortisol ini juga membuatkan kita craving nak makan benda-benda manis, sebab tu ada satu-satu situasi anda rasa teringin sangat nak makan dessert. Dan pada masa sama untuk pengetahuan anda, hormon kortisol yang tinggi boleh membuatkan kadar metabolisme kita jadi perlahan
Perut buncit bukan hanya soal pemakanan atau gaya hidup, a juga berkait rapat dengan tahap tekanan dalam diri.
Pengurusan stres secara sihat bukan sahaja baik untuk emosi, tetapi juga penting untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.

#Bahagia #Tekanan #Buncit #Stres #Hormon Kortisol #Tekanan Gula Dalam Badan