GAYA HIDUP

The Experts: Fahami Proses Mahkamah, Apa Itu Prima Facie Dan Bila OKT Perlu Bela Diri?

Asyraf Roslan 27/07/2025 | 04:55 MYT

Mungkin ramai yang keliru bila dengar seseorang "dipanggil bela diri" atau bila media melaporkan ada "prima facie" dalam kes.

Untuk mudahkan pemahaman orang ramai, pempengaruh Tun Laila baru-baru ini menjelaskan proses ini secara ringkas.

Berikut adalah perkara penting yang anda patut tahu:

1. Proses Mahkamah Ada Dua Peringkat Utama

Setiap kes jenayah bermula dengan peringkat pendakwaan, diikuti dengan peringkat pembelaan. Sebelum seseorang boleh membela diri, dia mesti dituduh dan pendakwaan perlu dibuktikan terlebih dahulu.


2. Pendakwa Raya Perlu Buktikan Semua Elemen Kesalahan

Pendakwa bukan hanya datang ke mahkamah dan menuduh mereka perlu buktikan semua elemen sesuatu jenayah mengikut undang-undang. Kalau tidak lengkap, kes boleh gugur awal.


3. Fahami Maksud ‘Prima Facie’

Ini adalah istilah penting dalam proses perbicaraan.

“Prima facie ni adalah satu beban pembuktian yang diletakkan kepada pendakwaan.”

Maksudnya: Jika elemen jenayah terbukti pada peringkat awal, maka mahkamah akan putuskan bahawa ada prima facie. Barulah Orang Kena Tuduh (OKT) dipanggil untuk bela diri.

4. Bila Ada ‘Prima Facie’, Barulah OKT Diperlukan Membela Diri

Selepas mahkamah mengesahkan wujud prima facie, OKT akan dipanggil untuk memberikan pembelaan. Tetapi ini tidak bermaksud dia perlu membuktikan diri tidak bersalah sepenuhnya.


5. Pembelaan Hanya Perlu Wujudkan Keraguan Munasabah

Dalam fasa pembelaan, OKT hanya perlu mewujudkan satu keraguan munasabah terhadap bukti pihak pendakwa.

“Dia bukannya kena buktikan diri dia tak bersalah. Dia cuma kena wujudkan keraguan.”


6. Kalau Ada Keraguan, Mahkamah Tak Boleh Sabitkan Kesalahan

Mahkamah mesti sangat yakin dan tidak ragu-ragu langsung untuk sabitkan seseorang. Jika ada keraguan walaupun sedikit, maka OKT tidak boleh dihukum.


7. ‘Prima Facie’ Bukan Bererti Pendakwa Menang

Ramai salah faham. Hanya kerana ada prima facie, belum tentu pendakwa menang. OKT masih ada peluang untuk lepas jika berjaya wujudkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

#Mahkamah #Bela Diri #OKT #Prima Facie