Laman Utama
Eza Edmond Resah Terkandas Di Sabah, Tak Sabar Balik KL Promosi Lagu Baru
Penyanyi baharu, Eza Edmond tidak sabar untuk pulang semula ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan lagu terbaharunya Miliki Hatiku.
Terkandas di kampungnya di Papar, Sabah, kata Eza, dia reda dan berharap pandemik COVID-19 segera berakhir.
"Buat masa ini saya masih berada di kampung. Kalau keadaan reda barulah saya pulang ke ibu kota. Sekarang saya hanya fokus membuat promosi secara online dahulu," katanya.
Eza atau nama sebenarnya Eza Hafizah Edmond baru sahaja menyelesaikan pengajian ijazah dalam bidang Persembahan Muzik di UITM Shah Alam, Selangor dan pernah muncul menerusi single pertamanya berjudul Bahagia.
Bahagia meraih kejayaan besar apabila memperoleh tontonan lebih 10 juta di YouTube dan 40 juta tontonan di saluran lain.
Kini setelah tiga tahun merakamkan Bahagia, dia tampil dengan lagu Miliki Hatiku yang dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Sheikh Qalam Records pada Jumaat, 25 Februari lalu.
"Memang saya gembira apabila perjalanan sebagai penyanyi dipermudahkan. Masa mula merakamkan Bahagia dulu, saya sendiri tidak menyangka lagu tersebut diterima baik oleh peminat sehingga viral.
"Sudah pasti apabila hadir dengan single baharu, saya berharap momentum itu akan berkekalan. Setidaknya Miliki Hatimu pelan-pelan diterima ramai seterusnya mengingatkan semula ingatan peminat kepada diri ini," katanya.
Jika Bahagia berkisar kepada kisah duka dalam percintaan, Miliki Hatiku pula lebih pop, mudah didengar dan mempunyai mesej positif dalam perhubungan.
Lagu yang diciptakan bersama dengan Aizuddin Madani itu mempunyai bait-bait lirik yang mudah difahami dan tidak berkiasan seperti kebanyakan lagu lain.
Kata Eza, trend semasa yang mahukan lirik dan mesej sebegitu menjadi pedoman kepadanya dalam berkarya.
"Bila saya rakamkan Bahagia dulu, saya dapat rasakan pendengar lebih suka kepada lirik yang mudah difahami. Sebab itu untuk lagu kali ini, saya gunakan formula yang sama.
"Harapnya, Miliki Hatiku akan mampu diterima baik selepas dilancarkan. Soal lambat diterima atau tidak, saya tak kisah. Asalkan masih ada yang sudi mendengar pun sudah cukup baik," tambahnya.
Untuk rekod, sepanjang bergelar penyanyi Eza pernah terlibat dalam pelbagai acara besar termasuklah Boombastik CTDK Hot FM 2019, Konsert Jazz UITM 2019, Showcase Anugerah Meletop Era 2019 dan puluhan acara yang lain.