HIBURAN
Ezzanie Jasny Kena ‘Maki’ Sebab Bawa Watak Nuha - “Ramai Yang Hentam Sebab…”
Pelakon, Ezzanie Jasny akui terkejut apabila menerima kecaman daripada penonton selepas membawakan watak Nuha dalam drama bersiri popular Dia Bukan Syurga.
Menurut Ezzanie, segelintir penonton menyalahkan dirinya kerana membawakan watak Nuha yang dianggap terlalu naif dan ‘bodoh’ dalam berhadapan dengan lelaki toksik seperti Tajul (Niezam Zaidi).
“Kalau yang cerita pengalaman dekat DM dekat Rissa tapi kalau saya ramai yang hentam sebab bawa waktak Nuha, sebab bagi mereka saya bawa watak yang bodoh,” katanya kepada Gempak.
Namun begitu, Ezzanie berharap orang ramai dapat melihat mesej sebenar di sebalik watak tersebut yang mengetengahkan realiti hubungan toksik.
“Pada awalnya pelik juga kenapa orang nak marah saya. Tapi kalau anda semua ambil ini sebagai benda yang positif mesti anda akan dapat lihat perkara ini pernah terjadi di luar sana.
“Jangan hentam watak Nuha itu kerana perkara ini sangat real, jadi kita nak beri kesedaran kepada mangsa yang mengalaminya untuk lari daripada lelaki toxic itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ezzanie turut mendedahkan bahawa semua babak yang dilakonkannya dalam Dia Bukan Syurga dilakukan sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri (stunt double).
Ezzanie juga berharap perkongsiannya itu dapat membuka mata ramai pihak dan menjadi pengajaran kepada orang ramai yang menonton.
“Semua babak yang saya buat tiada stunt double sebab saya nak merasai sendiri, ada satu scene Tajul pijak kepala Nuha tu walaupun tidak dimasukkan dalam drama tapi saya ada kongsi di sosial media.
“Ramai yang marah tapi sebenarnya kita nak tunjuk pada mereka inilah yang terjadi tapi tak ada orang bercakap tak kisah anda lelaki ke wanita. Benda ini ada terjadi di luar jadi bila post benda itu saya nak orang di luar sana lihat benda ini dari sudut yang positif dan ambil ia sebagai pengajaran kerana perkara ini sememangnya berlaku,” kongsinya.