Fadhli Masoot Selamat Bernikah, Tak Pernah Berahsia Dengan Peminat - “Selesai Saja Nikah, Saya & Isteri Jumpa Mereka”
Asyikin Mayudin
05/03/2024 00:55 MYT
05/03/2024 00:55 MYT
Dalam diam, rupa-rupanya pelakon Syurga Itu Bukan Mudah dan Projek High Council, Fadhli Masoot sudah selamat melangsungkan pernikahan dengan gadis pilihannya iaitu Suraya pada 2 March lalu.
BERITA TRENDING: Populariti Mula Melonjak Naik, Fadhli Masoot Bimbang Berdepan Situasi Sama Seperti Amir Ahnaf - “Sebab…
Sudah lebih setahun mengenali isteri, Fadhli turut memberitahu majlis resepsi mereka juga telah berlangsung di A Park, Puchong pada Ahad lalu.
“Alhamdulillah, saya dah isteri selamat bernikah pada 2 March lalu di Masjid Al-Falah USJ 9. Manakala majlis respsi telah diadakan pada 3 March di A Park, Puchong.
“Sebenarnya saya dah kenal Suraya sejak lebih setahun yang lalu,” kata Fadhli kepada Gempak.
Dalam pada itu, Fadhli turut mendedahkan beberapa orang peminatnya sudah dimaklumkan mengenai berita gembira tersebut ketika meet and greet yang diadakan pada hari pernikahannya.
“Sebenarnya sebaik saja selesai acara akad nikah, saya minta izin kepada keluarga saya dan keluarga isteri untuk bertemu dengan peminat saya… saya adakan meet & greet selepas nikah.
“Tapi peminat saya tak tahu tujuan utama saya adakan meet & greet. Bila berjumpa dengan mereka, barulah saya kongsikan berita gembira itu. Alhamdulillah, saya kenalkan isteri saya kepada mereka.
“Nampak la peminat terima dengan hati terbuka. Malah mereka juga senang berborak dengan isteri saya. Memang saya rancang untuk kongsi berita gembira ini dengan peminat yang sentiasa sokong saya,” ujarnya.
Sementara itu, Fadhli turut menegaskan dia tidak akan memperlahankan atau berhenti dari dunia lakonan biarpun sudah bergelar seorang suami.
“Insya-Allah walaupun saya sudah berumah tangga, tapi saya nak ia juga berjalan seiring dengan kerjaya seni. Tiada istilah saya akan perlahankan kerjaya atau berhenti dari dunia lakonan,” katanya lagi.