Hiburan
Fahrin Ahmad Dah Bagi 'Hint' Pada Isteri Mahu Tambah Anak
Pelakon Fahrin Ahmad akui sudah menyatakan hasrat kepada isterinya, Elena Hani Eleas untuk menambah cahaya mata dalam keluarganya.
Fahrin Ahmad berkata mereka perlu merancang lebih awal untuk menambah zuriat kerana usia isterinya tahun ini bakal mencecah 40 tahun.
"Orang kata rezeki itu semua datang dari Allah tetapi kami ada merancang untuk menimang cahaya mata kedua dalam jangka masa yang terdekat.
"Bagi saya perlu cepat lah memandangkan usia isteri saya pun bakal mencecah 40 tahun tahun ini dan tidak elok jika dilambatkan.
"Saya sudah bagi hint mengenai ini, malah saya sempat menyakatnya supaya mahu timang anak kembar pula bagi kelahiran kedua.
"Namun saya tidaklah mendesaknya, saya akan tunggu bila dia sudah bersedia dan anak saya pertama ini sudah membesar sedikit dalam setahun begitu," katanya kepada Astro Gempak.
Fahrin ditemui ketika majlis penyampai hadiah Go Shop kepada pembeli setia rangkaian membeli belah tersebut semalam.
Bercerita mengenai cahaya pertamanya, Khalifa Fahrel yang kini berusia lima bulan setengah , Fahrin memberitahu dia seronok melihat perkembangan anaknya di depan mata.
"Pengalaman menjadi bapa memang sangat seronok, lebih-lebih lagi melihat anak kita membesar depan mata kita.
"Kadang-kadang saya teruja hendak melihat perkembangan dia setiap hari kerana ia akan berubah-ubah setiap hari," katanya lagi.
Teks oleh Syafiqah Jalal