Jika sebelum ini, negara digemparkan dengan kes pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang cedera di kepala dipercayai selepas dipukul dan menjadi mangsa samun, hari ini, Malaysia dikejutkan pula dengan insiden pemain bintang Selangor FC, Faisal Halim yang cedera di muka dan badan dipercayai akibat disimbah asid.

BERITA TRENDING: Akhyar Rashid Cedera Dibahagian Kepala, Dipukul & Disamun


Menerusi perkongsian di laman X daripada Fina Nasrom, wartawan Astro Arena itu memaklumkan kejadian berlaku di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Berdasarkan gambar yang dikongsi kepada Astro AWANI, terdapat kecederaan dilihat di bahagian muka, kepala dan bahagian belakang pemain tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian tersebut dan Astro AWANI akan membawakan maklumat lengkap selepas kenyataan media diperoleh.

Dalam pada itu, media sosial dilihat mula berkongsi gambar insiden tersebut sebaik ia mula tular pada petang Ahad.

Majoriti daripadanya mahu pelaku ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Bahkan, ramai juga bimbang dengan keselamatan para pemain kebangsaan memandangkan ia adalah kes serangan kedua dalam tempoh tiga hari.