Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Faisal Halim Sebak Tak Dapat Bersama Harimau Malaya

Gempak
30/08/2024 13:25 MYT
Pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim tidak dapat menahan sebak ketika menjejakan kaki ke Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya pada Khamis.

Sedih Tak Dapat Sertai Skuad Kebangsaan

Faisal atau lebih mesra disapa Mickey mengakui sedih mengenangkan tidak dapat bersama Harimau Malaya untuk saingan Pestabola Merdeka kali ini selain Wisma FAM itu menyimpan segala kenangan manisnya bersama pasukan kebangsaan.

Faisal hadir ke Wisma FAM atas jemputan khas badan induk itu sebagai tetamu pada hari pertama latihan skuad kebangsaan menjelang aksi Pestabola Merdeka bermula 4 September ini.

"Sebenarnya saya sedih, sebab saya tak dapat bersama pasukan.

"Saya sudah banyak tahun (bersama Harimau Malaya), inilah tempat saya berjuang untuk pasukan kebangsaan dengan rakan-rakan dan jurulatih. Tapi hari ini saya datang sebagai tetamu melihat rakan berlatih," katanya.

Faisal juga meminta semua pihak mendoakannya agar dapat kembali pulih sepenuhnya dan menyarung jersi kebangsaan.

"Saya berasa tak lama lagi saya akan kembali, Insya-ALLAH. Saya harap semua dapat doakan dan saya tak sabar untuk kembali.

"Saya datang hari ini selepas Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) hubungi saya semalam (Rabu) bagi memberikan semangat kepada rakan sepasukan dan saya pun rindu saat ini," katanya.

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain Selangor FC terpaksa berehat panjang selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada Mei lalu.

Sumber: Sinar Harian

#Harimau Malaya #Sedih #Faisal Halim #Pesta Bola #Bola Merdeka #Skuad