Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Faizal Tahir Bikin Konsert Solo Selepas 17 Tahun, Harga Tiket Serendah RM488!

Amri Hassan
13/06/2023 19:12 MYT
Seorang lelaki dengan pengenalan pentas Faizal Tahir masuk ke industri muzik tempatan bukan sekadar mahu memegang predikat ‘aku penyanyi’.

Sekiranya beliau hanya ingin dikenali sebagai orang popular menerusi kerjaya penuh glamor dan dipuja, Faizal Tahir tidak akan menjadi pelaku seni yang telah mencetak pelbagai prestasi — dari seorang penyanyi, komposer, penulis lirik, pemenang anugerah dan turut menyumbangkan bakat besar kurniaan Ilahi buatnya kepada rakan seperjuangan lain.



Maka tidak hairan apabila sebuah konsert perdana, Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad bakal dilaksanakan pada 2 September 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre pukul 8.30 malam.

Melalui Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur, anak kelahiran Kuala Lumpur akan berkongsi kembara 17 tahun pembabitannya dalam industri seni yang penuh sepak terajang dan turun naik ini.

Terowong masa sepanjang 17 tahun

Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur merupakan konsert sulung pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir yang akan dilangsungkan dalam suasana bukan sekadar mengisi dahaga penggemar lewat untaian lagu tetapi juga peminat akan ikut masuk ke terowong masa sepanjang 17 tahun berkarya.

“Kami di JioBuddy sangat berbesar hati kerana akhirnya diberi kepercayaan menganjurkan Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur pada 2 Septemper ini.

“Konsert ini amat penting kerana pengisiannya bukan sekadar tentang muzik tetapi sebuah penceritaan perjalanan seorang insan bernama Faizal Tahir.

“Setelah pihak kami dan Faizal mencapai kata sepakat bahawa Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur bukan sekadar hiburan tanpa manfaat, maka pihak kami berasa sebuah konsert atau persembahan hebat seperti ini perlu segera dipertontonkan kepada penggemar dan umum,” ujar penganjur dari JioBuddy, Sean Ng.

Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur turut disokong rakan kolaborasi seperti Altus Prohouse, Faithful Music, JioSpace, World Trade Centre, Level Up dan YCG.

Konsep pengembaraan Faizal Tahir

Bagi Faizal, 44, objektif yang lebih penting dari sekadar penggemar melihat dirinya sebagai penyanyi, popular dan dipuja kerana vokal atau persembahannya adalah bagaimana dunia seni juga menjadi sebahagian daripada fasa hidup lewat pengalaman yang dilalui.

A post shared by Faizal Tahir (@faizal_tahir)


“Secara jujurnya, selepas 17 tahun baru sekarang terjadinya konsert solo Faizal Tahir. Ini kerana saya sudah lama dipujuk oleh ramai pihak. Saya akur akhirnya utk buat konsert saya sendiri. Saya akur dengan pujukan itu. “I give in” dan mengaku tewas, mereka telah meyakinkan saya untuk buat konsert saya,” akui Faizal.

Bercerita tentang konsep dan kelainan, Faizal membayangkan bahawa konsert ini akan membawa kepada segmen-segmen yang membahagikan perjalanan seninya.

“Konsert ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi sama-sama untuk kita mengambil sesuatu yang baik dan positif tentang kehidupan. Ada sesi perkongsian dari dari zaman poyo, tak sedar diri sampai sedari diri. Sebuah revolusi- perjalanan itu aka nada dalam konsert ini. Saya nak orang pulang dengan mereka rasa mendapat sesuatu yang bermanfaat untuk diri masing-masing. Bukan sekadar sebuah konsert orang nyanyi dan balik dan habis begitu sahaja.

“Aku Faizal Tahir akan membawa penonton dalam sebuah penggembaraan kehidupan — dari tanggungjawab seorang penyanyi kepada seorang Muslim, dari seorang artis kepada seorang bapa,” kata Faizal.

Nyanyi lebih 20 lagu

Sudah tentu hit-hit dari lima album termasuk Aku.Muzik.Kamu, Adrenalin dan Faizal Tahir serta Anatomi & Rojak akan didendangkan. Sudah pasti juga peminat akan mendengar vokal mantap Faizal mengalunkan Mahakarya Cinta, Bencinta, Assalamualaikum dan Ragaman yang sudah menjadi antem peribadi buat penggemarnya.

Malah sebagai tanda kasih buat semua pihak yang mendukung perjalanan karier Faizal selama ini, beliau merakamkan semula lagu Sampai Syurga yang akan menjadi hadiah atau momen paling berharga untuk didengarkan pada malam konsert.

“Besar harapan saya agar rakaman semula Sampai Syurga yang akan didendangkan nanti mampu mengimbau dan mengembalikan memori peminat untuk menghidupkan pengalaman konsert secara keseluruhan,” tambah Faizal lagi.

Dengan itu jangan sampai terlepas menyaksikan konsert sulung Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur di Dewan Merdeka, World Trade Centre pukul 8.30 malam kerana ia selain pulang ke beberapa fasa momen sebelumnya, konsert ini akan menjadi yang terbaik daripada penghibur lokal kita pada tahun ini.

Tiket-tiket berharga RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia atau hubungi hotline: 011-5100 3111 (kiriman WhatsApp sahaja).
#Penyanyi #Konsert #Faizal Tahir #Tiket #WTC