Perkenalan di Instagram kira kira dua tahun lalu akhirnya membuka pintu rezeki buat dua anak muda berbakat, Muhammad Fahimi Rahmat, 23, dan Muhammad Ikhmal Mohd Hamka, 25.

Minat mendalam terhadap dunia muzik termasuk menyanyikan semula lagu penyanyi lain dengan versi tersendiri dan pada masa sama masing masing bekerja sendiri menyatu dua bakat ini menjadi satu di bawah nama duo, FML.

Tidak terhenti di situ, FML juga bernaung di bawah syarikat muzik, Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir sejak tahun lalu.

Sebagai pengenalan, mereka hadir dengan single sulung berentak R&B berjudul Payung Terjun ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, John Jeevasingham, Omar K,Fahimi Rahmat dan Ikhwan Fatanna.

Lagu terbitan Faithful Music dan edaran Universal Music ini dilancarkan sejak 24 Julai lalu di semua platform digital terpilih. Manakala video muzik rasmi lagu itu pula boleh ditonton di YouTube.

“Kami kenal kerana masing masing suka buat cover lagu artis lain selain bermain alat muzik seperti gitar. Apabila melihat minat masing masing begitu ketara, kami bergabung membuat cover bersama sama.

“Tak sangka pula entri video yang dikongsi di Instagram menarik minat pihak Faithful Music untuk bernaung di bawah label mereka.

“Nama FML itu sendiri ialah gabungan nama saya (Fahimi) dan Mal (Ikhmal). Ikutkan biarpun saya menjual kek dan Mal berniaga kerepek, kami banyak habiskan masa meneroka bidang muzik secara sendiri.

“Saya dan Mal sendiri gemar melakukan susunan muzik sendiri secara suka suka. Tapi siapa tahu ke depan nanti kami boleh jadikan bidang itu secara profesional. Kebanyakan lagu cover kami, saya dan Mal lakukan komposisinya sendiri. Mal pula memiliki suara yang unik,” kata Fahimi mewakili teman duonya, Ikhmal.

"Malah kata Fahimi lagi, mereka juga secara peribadi meminati bakat besar Faizal Tahir sejak sekian lama.

“Bukan nak bodek ke apa, tapi kalau dulu memang melihat Faizal Tahir dari jauh. Alhamdulillah sekarang dapat bekerjasama sekali.

“Memang mimpi jadi nyata. Dalam hidup ini, tiada yang mustahil. Kami juga percaya dengan bakat dimiliki serta bimbingan serta sokongan Faithful Music, FML boleh terbang tinggi. InsyaAllah, “ kata Fahimi.

Ditanya mengenai lagu Payung Terjun ia memberi pelbagai terjemahan maksud.

Lagu berkenaan dirakamkan sekitar Mei lalu ketika tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuatkuasakan

“Dalam erti kata lain, Payung Terjun ini memberi simbolik bahawa dalam setiap apa yang terjadi pasti ada jalan penyelesaian.

“Kalau dilihat dalam soal jodoh... kita selalu sebut kalau ada jodoh takkan ke mana. Begitu juga jika ada masalah dalam hidup, ada cara menanganinya.

“Pendek kata rezeki akan sampai, masalah akan selesai dan jodoh juga akan tiba. Dalam lirik lagu ini juga ada menyebut ‘everything gonna be alright’... tak perlu risau, InsyaAllah,” katanya.