Hiburan

Faizal Tahir Teruja Berkolaborasi Dengan Datuk Siti Nurhaliza

gempak
Ahmad Shah
21/07/2016
06:22 MYT
Sponsor Banner
Faizal Tahir Teruja Berkolaborasi Dengan Datuk Siti Nurhaliza
Penyanyi Faizal Tahir berkongsi keterujaannya apabila dapat merakamkan single terbaru bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Menurut Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 37, percaya peminat pasti ternanti-nanti single pertamanya bersama Siti, berjudul Dirgahayu itu.
“Lagu Dirgahayu adalah ciptaan sepenuhnya oleh saya serta dua orang rakan yang lain iaitu Mike Chan dan Ezra Kong. Sebenarnya sebelum ini memang ramai yang buat permintaan mahu saya dan Datuk Siti Nurhaliza bekerjasama.
“Kebetulan syarikat produksi Global Station Sdn Bhd melamar saya untuk hasilkan lagu duet bersama beliau untuk drama bersiri seratus episod di Astro. Insya Allah bulan Ogos ini akan dilancarkan,” katanya kepada Astro Gempak.
Faizal ditemui sewaktu majlis penyerahan cek bernilai RM20,000 menerusi kempen Help For Kids anjuran Red Box & Green Box kepada badan iAMFAITHMEN untuk tabung kebajikan Red Energy yang memberi fokus kepada kanak-kanak malang, susah dan terbiar di The Gardens, Kuala Lumpur.
Jelas Faizal lagi, dia bakal muncul dengan album terbarunya yang bakal dilancarkan pada bulan September ini.
“Album saya hampir siap dengan memuatkan 10 buah lagu. Walaupun perancangan awal sepatutnya diedarkan pada tahun lalu, tetapi terpaksa dilewatkan sedikit. Masih mengekalkan genre Rock dan bertajuk Anatomi Faizal Tahir.
“Ramai ingat saya bakal kembali dengan muzik Nasyid, selepas tampil dengan lagu seperti Assalamualaikum, tetapi sebenarnya tidak,” ujarnya.
Tambah Faizal lagi, dia juga dalam dalam proses menyiapkan single Hip Hop pertamanya selain sebuah lagu projek khas untuk pelarian Syria.
“Saya turut berkolaborasi dengan Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet bakal muncul dengan lagu Negaraku yang akan dilancarkan pada bulan Ogos serentak dengan Dirgahayu.
“Selain itu secara tidak sengaja saya, Noh Salleh, Aizat Amdan dan seorang penyanyi Nasyid, Muaz Zulkifli timbul satu idea untuk tubuh kumpulan projek khas, Faith dan bakal tampil dengan lagu All Our Love,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan yang diterima oleh Red Box, Faizal Tahir bakal menyalurkan wang tersebut kepada pihak yang memerlukan terutamanya golongan orang tua dan anak yatim.
“Secara jujurnya saya terharu dan sangat terkejut kerana Red Box sudi bekerjasama dengan iAMFAITHMEN untuk lakukan aktiviti kebajikan.
“Pertubuhan iAMFAITHMEN turut akan mencari peluang dan ruang-ruang kosong untuk bekerjasama dengan kementerian serta memudahkan kami menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live