Faktor Genetik, Liyana Jasmay Bimbang Berisiko Hidap Kanser - “Selain Perlu Lakukan Pemeriksaan Kesihatan…”
Asyikin Mayudin
25/05/2023 13:55 MYT
25/05/2023 13:55 MYT
Pemergian arwah ibu bapa akibat penyakit kanser memberi kesedaran kepada pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay untuk lebih mengambil tahu mengenai status kesihatannya.
Selain menjalani pemeriksaan secara berkala, Liyana, 35, juga kini lebih menitikberatkan soal pemakanan dengan mengelak untuk mengambil makanan proses dan berlemak.
“Perkara yang menimpa ibu bapa menjadi pengajaran untuk saya memandangkan kedua-duanya meninggal dunia disebabkan kanser.
“Arwah bapa meninggal disebabkan kanser paru-paru. Manakala arwah mama pula disebabkan barah otak. Jadi genetik saya memang berisiko untuk menghidap kanser.
“Selain perlu lakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh, saya juga kena menjaga pemakanan dan mengelak untuk mengambil makanan proses dan berlemak,” katanya kepada Gempak.
Liyana yang ditemui ketika sidang media siri baharu, Alter-Naratif terbitan Viu Malaysia juga bersyukur apabila dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri buat kali terakhir bersama ibunya walaupun ketika itu, wanita tersebut telah jatuh sakit,
Mengakui sedih atas kehilangan dua insan tersayang hanya dalam masa 17 bulan, Liyana bagaimanapun reda dan percaya bahawa kedua-dua orang tuanya kini berada di tempat yang lebih baik.
“Saya baru sahaja kehilangan arwah mama pada 12 Mei lalu, 17 bulan selepas arwah bapa meninggalkan saya pada 2021. Tapi saya reda sebab tahu mereka berada di tempat yang lebih baik sekarang dan tidak lagi dalam kesakitan.
“Saya sedih. Namun momen-momen menyeronokkan bersama mereka (ibu bapa) membuatkan saya kembali tersenyum. Memori itu menjadi kenangan saya hari ini,” ujarnya.
Terdahulu, ibu Liyana meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur selepas dua bulan disahkan menghidap barah otak pada usia 66 tahun.
Bapanya pula, Datuk Jasmay Md. Shah menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat kanser paru-paru pada 17 Disember 2021.