HIBURAN

Fan Bingbing Terima Pingat Datuk Dari Melaka: “Penghormatan Bermakna”

Maliah Surip 24/08/2025 | 08:39 MYT
Aktres China, Fan Bingbing yang dilantik sebagai Duta Pelancongan Melaka 2024 rasmi bergelar Datuk Fan Bingbing selepas dianugerahi Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) bersempena dengan sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Rustam pada Ahad.

Bingbing, 43, cukup teruja menerima penganugerahan tersebut mengucup pingat Datuk yang diterimanya di hadapan media.

Bintang X-Men: Days of Future Past dan I Am Not Madame Bovary itu juga menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai sebuah penghormatan berharga buatnya daripada kerajaan negeri Melaka.

“Penghormatan ini (pingat) sangat bermakna buat saya,” katanya selepas dianugerahi pingat seperti dilaporkan The Star.

Bingbing yang juga terkenal dengan The Emperess of China itu juga berikrar akan terus mempromosikan Melaka sebagai pusat pelancongan kepada dunia.

“Saya akan berada di Melaka pada bulan depan untuk mempromosikan destinasi pelancongan negeri ini lebih kerap,” katanya lagi.

Dengan pengiktirafan yang diterima, Bingbing menjadi bintang antarabangsa terkini yang menerima darjah kebesaran kerana membantu promosi industri pelancongan termasuk Datuk Shah Rukh Khan dan Datuk Jackie Chan.

Sebelumnya, Bingbing yang dipilih sebagai Duta Pelancongan Melaka 2024 dilihat mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri khususnya dalam menarik kedatangan pelancong antarabangsa.
#Melaka #Fan Bingbing #Pingat Datuk