HIBURAN
Farah Asyikin Dedah Bercerai Kali Ketiga, Alami Kemurungan Rumah Tangga 7 Tahun Musnah - “Saya Pakai Niqab Semata Nak Sorok…”
Penyanyi Farah Asyikin mendedahkan sudah bercerai dengan bekas suami, Raja Iskandar Raja Muktharuddin, dua tahun lalu.
Pemilik nama lengkap Farah Asyikin Zulkifli, 45, itu bagaimanapun masih kekal bersahabat baik dengan bekas suami apabila mereka menjalankan perniagaan restoran bersama.
“Kami sudah berpisah selepas kami buka restoran, dah masuk dua tahun tetapi kami masih berkawan.
“Setiap orang cabarannya lain, bila saya anggap ia gagal, ada orang perbetulkan ia bukan gagal tetapi ia sebuah cabaran.
“Siapa saja yang mahu kahwin tetapi bercerai? ,” katanya pada sidang media memperkenalkan Humble Ramadan Buffet Restoran 17 Hills, Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut pelantun lagu Kembali Lagi Di Sisimu itu lagi, dia enggan menjaja kisah perpisahannya itu sebaliknya hanya menjawab jika terdapat pertanyaan mengenai statusnya.
“Saya perlu terima ia sampai disitu saja. Yang penting harus kuat. Sudah cuba beberapa kali tetapi itulah takdirnya.
“Saya dengan Iskandar selama 7 tahun. Alhamdulillah saya banyak belajar. Kami lebih baik jadi kawan.
“Saya rasa tak penting nak cerita pada orang, kalau orang tanya saya jawab. Saya tak pernah rahsiakan cuma kalau orang tak tanya saya takkan cerita. Takut akan ada fitnah,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Farah berkongsi melalui fasa sukar ketika awal perceraian sehingga berdepan masalah kemurungan.
"Saya sampai tahap tak nak jumpa orang sebab saya tak tahu nak cakap apa jika ada yang bertanya soal perceraian.
"Saya pakai niqab semata-mata nak sorok wajah dan mata bengkak akibat banyak menangis. Selepas setahun barulah saya mampu nak berdepan dengan masyarakat," kongsinya.
Ditanya adakah bakal berumah tangga semula selepas berdepan tiga kali perpisahan, ini jawapan yang diberikan bekas peserta Gema Gegar Vaganza 2018 itu.
“Saya tidak serik sebab sudah banyak cabaran dalam hidup saya.
“Kalau ikut perjalanan hidup saya dari dulu, Ya Allah banyak betul dugaan dan cabaran.
“Bila saya tahu sesuatu perkara itu akan terjadi, saya sudah bersedia dengan pelan-pelan saya agar saya tak jatuh terduduk macam dahulu,” tutupnya.
Farah dan Raja Iskandar mendirikan rumah tangga pada Januari 2017 dan bercerai pada 2023. Ini adalah perkahwinan kali ketiga Farah dan kedua buat Raja Iskandar.
Perkahwinan kali pertama Farah dengan doktor bedah, Dr Fariz Yahya pada Mei 2007 tidak bertahan lama apabila bercerai setahun kemudian.
Kemudiannya, Farah pernah berkahwin dengan Zaahier Stanley pada Februari 2013, namun bercerai tiga tahun kemudian secara tebus talak.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Ebrahim Owais, 11.
Must-Watch Video