Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Farah Lee Berjaya Raih Ijazah Masters Di UK - “2018, Ibu Tunggal & Anaknya Berhijrah Ke Negara Asing..”

Azwa Rahman
25/03/2022 05:23 MYT
Selebriti media sosial Farah Lee melakar searah tersendiri dengan meraikan hari konvokesyen dalam sebuah majlis graduasi di University of Leeds, United Kingdom pada Selasa.

Menurut Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, 30, dia sepatutnya menggenggam Sarjana Pendidikan Kanak-Kanak pada Julai 2020 namun terpaksa ditangguh gara-gara pandemik.

Menerusi laman sosial Instagram, Farah berkongsi momen-momen istimewa bersama nukilan khas bersempena hari bahagia tersebut untuk tatapan umum.

“Pada 11/9/2018, seorang ibu tunggal bersama anak berusia 4 tahun berhijrah ke sebuah negara asing, meninggal semua yang mengenali mereka, gaya hidup yang selesa untuk menimba ilmu.

“Hari ini: dunia baru, wajah baru, kehidupan baru.

“Hari ini 22/3/2022, memori, keringat, tangisan, kesakitan, senyuman, ketawa dan kasih sayang, semuanya menjadikan hari ini indah. Akhirnya saya bergelar graduan Masters,” tulis Farah di ruangan kapsyen.

Dalam pada itu juga, bekas isteri kepada pengacara Ally Iskandar itu mengakui, kejayaan tersebut bukan satu perjalanan yang mudah untuk dilalui bersama anak perempuannya Maream Esabel apatah lagi menjalani kehidupan di negara asing.

A post shared by Farah Lee (@farahlee_)


Malah, dia menyifatkan anaknya itu sebagai seorang yang penyabar dan sentiasa menyokong ibunya dalam usaha menuntut ilmu sehingga tamat pengajian.

“Alhamdulillah Maream, kita berjaya lakukannya! Terima kasih atas kesabaran dan sokongan kamu sejak hari pertama kita berada di sini. Ketika itu, kamu masih kecil tetapi sangat memahami, suka membantu dan tabah.

“Saya tahu, ia bukan perkara mudah bagi kamu. Kamu sangat gembira dan menunggu hari graduasi saya. “Omma, hari ini hari awak” dan kejayaan ini adalah untuk kamu Maream,” jelasnya.

Lebih istimewanya lagi bagi majlis konvokensyen Masters ini, Farah mengenakan batik sarung yang sama semasa majlis graduasi kejuruteraan mekanikal di universiti Korea Selatan pada tahun 2013.

Di ruangan komen, ia dihujani dengan pelbagai ucapan tahniah, inspirasi, kata-kata pujian dan semangat untuk Farah terus cemerlang dalam bidang pendidikan yang diceburinya.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 87,000 tanda suka daripada pengikutnya.

Sekadar info, Farah dan Ally mendirikan rumah tangga pada 20 Januari 2012 sebelum mengambil keputusan untuk berpisah pada 17 Ogos 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurnaiakan Maream yang kini berusia lapan tahun.
#Farah Lee #Maream Esabel #Universiti UK
;