Farah Lee Buat Projek Hasilkan 6,000 Penutup Kepala Dan 3,000 Tudung Pakai Buang Buat Petugas Kesihatan, Ramai Puji!

ZULHILMI JALIL
Mac 31, 2020 09:01 MYT
Melihat kesungguhan petugas barisan hadapan khususnya mereka yang merupakan kakitangan kesihatan di hospital yang terpaksa membuat sendiri pakaian perlindungan diri (PPE) benar-benar menyentuh hati ramai pihak.
Bahkan, pada saat ini, ramai yang cuba menghulurkan bantuan dalam menyediakan bekalan PPE kepada petugas kesihatan yang jelas banyak berjasa dalam membantu orang ramai akibat wabak Covid-19.
Begitu juga yang cuba dilakukan oleh selebriti media sosial yang juga bekas isteri pengcara Ally Iskandar, Farah Lee.
Farah dalam satu entri di Instagram miliknya memberitahu dia kini dalam usaha untuk menyalurkan bantuan PPE yang meliputi penutup kepala dan tudung segera untuk kegunaan pakai buang.
"Terharu sangat sebab Farah rancang dan mulakan ini semua sorang-sorang, jadi memang struggle, tetapi satu persatu kawan-kawan datang tolong itu ini, ada yang nak kolaborasi sebagainya, kemudian sehari dapat kumpul RM10,000.
"Insya-Allah bagi fasa pertama ini, Farah target untuk hasilkan 6,000 helai penutup kepala PPE dan 3,000 tudung segera untuk diagihkan kepada pusat kesihatan seluruh negara," katanya menerusi satu entri di Instagram miliknya mengenai Frontliners Disposable Hijab Project (Projek Hijab Pakai Buang Frontliners) yang diusahakannya itu.
Katanya lagi, dia berharap agar hasratnya untuk membantu membekalkan keperluan pakaian golongan petugas kesihatan itu tercapai.
"Jadi kita perlukan dalam RM17,000 untuk capai target, Insya-Allah. Kalau masih ada permintaan, Insya-Allah kita boleh sambung fasa kedua pula," kongsinya.
Usaha Farah itu kemudian mendapat pelbagai respons positif termasuk mereka yang bertugas di hospital.
"Tolong hantar sedikit tudung ke Hospital Taiping. Agak sukar buat kami, selepas pakai PPE kena mandi dan basuh kepala, selepas itu terpaksa sambung berada di wad dalam keadaan rambut basah. Terima kasih atas usaha anda," komen salah seorang pengikutnya.
Sebelum ini, pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill juga turut mengambil insiatif membantu menjahit PPE bagi kegunaan frontliners.
BACA: Simpati Lihat Jururawat Buat Jubah Sendiri, Radzuan Radziwill Tampil Jahit Pakaian Perlindungan Diri Untuk Frontliners
Apapun, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Farah Lee #COVID-19 #Pakaian Perlindungan Diri