Penyanyi Ezad Lazim mengakui aktor Farid Kamil beruntung kerana ramai pihak yang menyokongnya selepas terlibat dengan kes menampar polis dan menendang dua orang awam serta penyalahgunaan dadah.

Menurut bekas vokalis kumpulan Exist ini, sebagai rakan dalam industri dia juga turut memberi sokongan kepada Farid dan berdoa agar semuanya akan berjalan dengan lancar.

"Saya nampak Farid Kamil agak bernasib baik kerana banyak pihak yang menyokong dia sejak awal.

"Kalau macam saya dulu tidak ramai orang yang menyokong namun apa yang berlaku itu ada hikmahnya.

"Saya tidak tahu sama ada Farid Kamil terjebak mahupun tidak dengan gejala ini namun sebagai rakan saya doakan yang terbaik untuk dia.

"Mungkin ini adalah dugaan serta musibah dalam hidup dia dan Farid harus memandang perkara ini dari sudut positif," katanya kepada Astro Gempak.

Ezad berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Kopi Badang di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Teks: Rozaimi Zubaidi