Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Farid Kamil Dihukum Penjara 13 Bulan, Diana Danielle Berdiam Diri

Fiza Kamarudin 03/06/2020 | 14:29 MYT
Susulan Datuk Farid Kamil dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan, isteri kepada pelakon tersebut Datin Diana Danielle mengambil pendekatan mendiamkan diri.
Gempak cuba menghubungi Diana menerusi aplikasi Whatsapp, namun pelakon tersebut tidak menjawab hantaran yang dikirim Gempak sejak pukul 7.49 malam tadi (Selasa).
Bagaimanapun Gempak menghormati ruang privasi Diana dan mengharapkan mereka sekeluarga tenang menghadapi dugaan ini.
Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, dua tahun lepas.
Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid Kamil, 39, bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan dengan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini bagi kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.
Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 atau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Farid menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.
#Diana Danielle #Farid Kamil #Penjara
;