Pelakon Farid Kamil mengaku berani untuk mengambil risiko membawakan watak tokoh politik ternama Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi naskhah berjudul Anwar.

Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari berkata, biarpun namanya menjadi pilihan terakhir di antara tiga nama aktor yang disenaraikan, namun dia akui bersyukur kerana telah dipilih untuk menjayakan watak berkenaan.

“Apa yang paling menyeronokkan adalah saya bernasib baik apabila dipilih untuk berada dalam filem Anwar Ibrahim, kalau tidak filem ini akan dilakonkan oleh pelakon dari negara lain.

“Kalau boleh dikongsikan ada juga tiga nama pelakon dari Malaysia yang disenaraikan, tapi mereka tidak berani buat. Jadi saya adalah pilihan terakhir untuk bawakan watak tersebut.

“Masa ketika saya terima tawaran tersebut, tiada seorang pun pelakon, pengarah atau krew yang berani nak buat cerita tersebut.

“Mungkin mereka takut untuk mengambil tawaran itu, saya pula mengambil risiko untuk terimanya,” katanya.

Farid berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem terbaharu arahannya berjudul Remp-it 2 di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam masa sama, Farid turut memaklumkan dia telah menemui figura bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dirinya berangkat ke Indonesia bagi menjalankan penggambaran filem terbitan Bianglala Entertainment itu.

“Beliau masih lagi aktif jadi saya perlu berjumpa dengannya, saya telah berjumpa dengan beliau sebanyak dua kali sebelum terbang ke Indonesia bagi sesi penggambaran.

“Saya dapat jumpa beliau secara berdepan dan setelah saya kaji apa yang berlaku padanya, saya minta untuk dia bantu saya.

“Saya minta beliau untuk tunjukkan kesan-kesan tumbukan dan luka yang pernah terjadi di tubuh badannya sebanyak tujuh tumbukan seperti mana dalam laporan kesihatan.

“Beliau buka cermin matanya dan ternyata kesan luka tersebut masih ada pada bahagian kening beliau.

“Itu yang membuatkan saya rasa membuak-buak dan ingin menzahirkan watak Anwar Ibrahim,” tambahnya.

Terdahulu, berita mengenai penglibatan Farid dalam filem arahan Viva Westi yang mengangkat perjuangan tentang tokoh politik menentang rasuah di Malaysia sejak tahun 1993 hingga 1998 telah mendapat pelbagai reaksi netizen.

Untuk info, filem Anwar diolah daripada kisah benar dan alur ceritanya adalah mengenai perjuangan Anwar Ibrahim melawan sebuah sistem yang korup dalam negara.

Manakala Remp-it 2 merupakan sambungan Remp-it yang penah dihasilkan pada 2006. Bertindak selaku penerbit, pengarah dan pelakon, Rempi-it2 turut membariskan pelakon seperti Cat Farish, Ahirine Ahirudin, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh dan Shahkimin.

Sinopsis:

Remp-it2 mengisahkan kesinambungan kehidupan Madi selepas kejadian yang menimpanya dan Spark dahulu. Madi sekarang bekerja sebagai seorang instruktor di sebuah pusat latihan motosikal yang dimiliki oleh rakannya, Roy.

Selepas kejadian itu, Madi sudah berazam untuk tidak berlumba dan meninggalkan dunia rempitnya. Kini Madi fokus sebagai pelumba professional.

Pada suatu hari, secara tidak sengaja Madi telah berentap di jalanraya dengan Ajak, iaitu orang Spark. Madi yang cuba mengelak dari terlibat dalam perlumbaan haram membuat helah dengan meninggalkan perlumbaan tersebut.

Namun Ajak tidak berpuas hati dan sekali lagi meneriah Madi di jalanraya dan berlumba sekali lagi tetapi kali ini bersama Dekwan dan konco-konconya. Berita kemunculan Madi sampai ke pengatahuan Spark yang berada di dalam penjara.

Spark bakal dibebaskan tidak lama lagi dan dia tidak sabar untuk berentap semula dengan Madi.

Apakah kesudahan peperangan Madi dan Spark? Saksikan Remp-it2 diseluruh pawagam Malaysia sekarang!

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!