Hiburan
Farid Kamil Tetap Pertahankan Rumah Tangga Dengan Diana Danielle, Mahkamah Perintah Kes Cerai Ke JKP
Kemelut rumah tangga Farid Kamil dan Diana Danielle nampaknya semakin panjang apabila aktor itu enggan melepaskan isterinya ketika sebutan pertama permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.
Keengganan Farid Kamil menceraikan isterinya membuatkan pasangan selebriti itu diperintah melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin memerintahkan demikian selepas Farid atau nama sebenarnya Farid Farid Kamil Zahari, 43, bertegas tidak mahu melafazkan cerai terhadap Diana.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Bagaimanapun Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, enggan memaklumkan wakil JKP yang akan mewakilinya manakala Farid setakat ini belum melantik wakil JKP bagi pihaknya.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac 2025 untuk sebutan semula dan laporan JKP kedua-dua belah pihak.
Semasa prosiding, Diana diwakili peguam syarienya Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Farid diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.
Sebelum ini, mahkamah sama telah mengesahkan rujuk yang dibuat pelakon Farid Kamil terhadap isterinya pada tahun lalu adalah sah.
Pada prosiding terdahulu, Akberdin memaklumkan tiada lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang membuatkan Diana tekad memfailkan penceraian kali kedua terhadap suaminya itu pada 4 November lalu.
Menurut Akberdin pemfailan permohonan cerai hari ini dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
“Permohonan cerai sebentar tadi tak dapat diteruskan sebab defenda tak setuju untuk melepaskan secara baik.
“Oleh kerana itu mahkamah terpaksa melantik JKP untuk melihat dan mendengar kedua-dua pihak dan bawa laporan ke mahkamah,” kata Akberdin kepada Gempak.
Pada 20 November lalu, peguam mewakili Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan mahkamah mengesahkan status aktres itu dan aktor Farid Kamil masih suami isteri setelah kembali rujuk pada 31 Ogos tahun lalu.
Akberdin berkata perakuan rujuk perlu diambil di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dokumen itu perlu dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk permohonan perceraian.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9
Must-Watch Video