Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Fasih Berbahasa Inggeris Bukan Sebab Bongkak Tapi Pendidikan” - Puteri Balqis

Mya Amri
08/03/2024 02:44 MYT
Pelakon Puteri Balqis berkongsi kisah mengenai kefasihannya berbahasa Inggeris.

Menurut Puteri Balqis Azizi atau lebih mesra disapa sebagai Aqish, 17, kepetahannya itu adalah disebabkan hasil usaha ibunya yang gigih membeli bahan bacaan bagi memastikan dirinya mendapat pendidikan yang sepatutnya.

“Ibu saya rajin, tahap dia mahukan saya mendapatkan pembelajaran itu, dia beli buku alfabet dan dia akan menyenaraikan setiap perkataan mengikut huruf selain membenarkan saya menconteng di mana sahaja termasuk pada dinding rumahnya.

"Semua itu nampak sukar tetapi hasilnya sangat berbaloi, sehingga kini saya masih lagi belajar berbahasa Inggeris,” ujarnya.

Aqish ditemui selepas pelancaran drama Terlanjur Cinta terbitan Viu bertempat di The Agam, Sg Penchalan pada Rabu.

Dalam pada itu, Aqish juga menegaskan kefasihannya bertutur dalam bahasa Inggeris bukanlah bertujuan untuk menunjuk kehebatan diri.

Sebaliknya kata Aqish, dia mahu mendidik dan menanam minat dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan bahasa Inggeris pada masa hadapan.

“Saya sangat bersyukur apabila ada yang suka sebab ada sesetengah orang nampak bila bercakap dalam bahasa Inggeris ini bongkak.

“Tapi tidak sebenarnya, ini adalah salah satu bentuk pendidikan dan pendidikan itu amat penting. Pelbagai jenis kerja yang memerlukan kita bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Sebagai contoh, tak akanlah kita pergi Sepanyol hendak cakap Melayu pula," katanya

Dalam pada itu, mengulas mengenai permintaan segelintir netizen yang mahu dia berlakon dalam naskhah antarabangsa, Aqish berkata dia ingin menempa nama di negara sendiri terlebih dahulu.

"Saya mahu habiskan tugas di sini (Malaysia) dahulu, insya-Allah.

"Insya-Allah kalau ada tawaran, saya akan terima tetapi tidak akan sesekali lupa dari mana saya datang," katanya

Terdahulu, kefasihan Aqish bertutur dalam bahasa Inggeris disalah anggap segelintir individu malah ada yang berpendapat Aqish sengaja mahu menunjuk-nunjuk kehebatannya kepada umum.

Baginya, semua individu perlu mempelajari bahasa lain yang menjadi sebahagian daripada pengetahuan untuk digunakan pada masa depan.

#Puteri Balqis #Pendidikan #Bahasa Inggeris #Aqish #Fasih
;