Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Fauzi Nawawi Bersyukur Tak Kena 'Gam' Stesen TV! – “Menyedarkan Saya, Tidak Semua Menyukai…”

Shahrin Zulkifle
05/10/2022 03:00 MYT
Pelakon Fauzi Nawawi meluahkan rasa syukur apabila dakwaan mengenai dirinya akan di banned untuk muncul dalam kaca TV sekadar khabar angin sahaja.

Jelas Fauzi, sehingga kini dia masih tidak menerima sebarang kenyataan susulan isu berkenaan, bagaimanapun dia menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran buatnya.

“Alhamdulillah saya tidak di banned pun sampai sekarang, malah jujur saya katakan tidak langsung risau sekiranya di banned daripada sesiapa kerana saya tidak bergantung dengan mana-mana mahkuk di muka bumi ini.

“Industri seni adalah jiwa saya, memang ada ura-ura nak di banned tetapi tiada sebarang surat rasmi yang diterima. Cumanya ada dua hingga tiga pengarah yang beritahu, bila hantar nama saya untuk berlakon akan di tolak, itu sahaja.

“Kejadian itu juga sebenarnya sedikit sebanyak menyedarkan saya, bahawa dalam industri ini tidak semua yang menyukai saya. Saya lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan filem terbaharu lakonannya, Seratus di GSC Mid Valley Mall, Kuala Lumpur pada Isnin.

Terdahulu, nama Fauzi menjadi bualan ramai susulan insiden dia lantang bercerita mengenai isu rogol ketika menjadi tetamu di sebuah program temu bual.

Ditanyakan mengenai kenyataan dirinya akan berpindah ke Sabah disebabkan ‘merajuk’, pemilik nama penuh Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 49, berkata tindakan tersebut diambil sebagai tempoh bertenang buat dirinya.

“Pergi Sabah bukan sebab merajuk tetapi mengambil tempoh bertenang di sebabkan isu itu dan mencuba nasib membuka perniagaan.

“Tetapi walaupun ada perniagaan, berlakon adalah jiwa sebenar saya, bermula dengan kehidupan saya daripada dulu lagi sehingga saya bertemu jodoh pun dalam bidang lakonan, saya tidak boleh nak tinggalkan,” tambahnya.

Selain Fauzi, filem Seratus yang menyaksikan penglibatan seramai seratus pelakon tanah air turut membariskan Sharul Kamal, Marissa Yasmin, Sara Ali, Wan Hanafi Su, Nora Danish, Datuk Awie, Datuk Adi Putra, Pablo Amirul, Amar Bahrin dan ramai lagi.

Sinopsis

Seratus mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Hafiz yang perlu menyelamatkan ibunya daripada dibunuh. Hafiz perlu mencari semula wang RM 100 yang mempunyai “klu” tentang pendrive yang terkandung sebuah rahsia besar. Hafiz melalui pelbagai situasi yang mencemaskan demi mendapatkan wang RM 100 itu sebelum ibunya mati dibunuh.

Saksikan filem arahan Feroz Abdul Kader ini yang akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 Oktober depan.

#Fauzi Nawawi #Pablo Amirul #Sara Ali #Sharul Kamal #Wan Hanafi Su #Filem Seratus #Marissa Yasmin
;