Pelakon Fauzi Nawawi menafikan dakwaan harta digadai dan kereta pernah ditarik disebabkan isterinya iaitu aktres Lisdawati tidak menerima sebarang tawaran selepas bertudung beberapa tahun lalu.

Pelakon filem Polis Evo 3 itu bagaimanapun meluahkan rasa syukur menjalani kehidupan yang baik bersama keluarga sepanjang mereka berkahwin.

"Alhamdulillah, sekarang ini saya duduk rumah yang selesa, kereta saya pun dah habis bayar. Cuma kereta isteri saya ada hutang lagi dengan bank.

“Tapi dakwaan kereta ditarik itu tidak pernah berlaku. Sejak kami berkahwin tak pernah kena tarik. Kalau kereta kena tarik mesti dah kecoh, jiran-jiran saya semua mesti komen dekat posting tersebut.

“Saya juga tidak perlu pamerkan kemewahan saya. Saya hanya perlu kongsikan kerjaya sahaja," katanya kepada Gempak.

Fauzi berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem lakonan terbaharunya berjudul MALBATT: Misi Bakara yang diadakan di GSC, IOI City Mall Putrajaya, pada Selasa.

Terdahulu, Fauzi tampil memperbetulkan salah faham mengenai kenyataan isterinya tidak mendapat tawaran berlakon selepas mengenakan hijab.

Fauzi berkata kenyataan itu disalah erti oleh orang ramai disebabkan penggunaan tajuk berita berkenaan dan apa yang dikongsikan isterinya hanya mengenai cabaran yang dihadapi selepas berhijab beberapa tahun lalu.

BACA SINI: Fauzi Nawawi Betulkan Salah Faham Lisdawati Tak Ada Job Selepas Bertudung - "Tercalar Maruah Saya Sebagai ..."