Pelakon veteran, Fauziah Nawi menyatakan kesangggupannya bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin serta menteri kanan lain bagi memohon kebenaran untuk penggiat seni menjalankan penggambaran.

Menerusi laman sosial Instagram, Fauziah menyuarakan hasratnya itu untuk merafak sembah untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong.

“Rasa nak merafak sembah Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong untuk sampaikan pesan kepada Perdana Menteri dan Menteri MKN supaya membenarkan karyawan shooting semula dengan patuh SOP yang ditetapkan.

“Tuanku, rakyat grup production dalam keadaan genting. Ampun Tuanku,” tulis Fauziah menerusi hantaran tersebut.

Tambah Fauziah lagi, dia memohon luahannya mendapat perhatian pihak pentadbiran negara bagi para penggiat seni ini kembali meraih sumber pendapatan.

“Mohon pihak atasan mendengar, melihat keadaan kami penerbit/pengarah/pasukan teknikal/pasukan produksi/VO talents/penulis/ahli muzik/penyanyi/penari. Izinkan kami turun padang kerja demi kelangsungan hidup kami,” jelasnya lagi.

Luahan itu turut mendapat sokongan dan reaksi positif daripada penggiat seni pelbagai cabang di Malaysia apabila rata-ratanya terkesan dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sehingga 18 Februari ini.

“Bagi kami yang buat alih suara ni, taktau nak merayu kat siapa. Minta Menteri Penerangan pertimbangkan untuk luaskan lagi slot alih bahasa,” komen seorang penggiat seni.

“Tiada yang lama, tiada yang baru. Kami semua bersatu hati. Ampun Tuanku,” kata seorang penggiat seni.

“Betul tu ibu, suami saya main muzik pun dah nak habis nyawa. Last year dapat bermuzika dua bulan je, this year empat hari je,” luah seorang penggiat seni.

Sehingga kini, perkongsian Fauziah itu telah mendapat hampir 4,000 likes daripada pengikutnya.