Hiburan
Fazley Yaakob Anggap GV ‘Pembuka Rezeki Baru’, Komen Pedas Juri Amat Diperlukan - “Itu Bukan Memalukan, Itu Ilmu Termahal”
Cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yakoob terpanggil untuk bersuara mengenai isu seorang penyanyi veteren yang mendakwa program Gegar Vaganza (GV) seperti menghina artis bertanding.
Berfikir secara masak
Menganggap program nyanyian itu ‘pembuka rezeki baru’, Fazley memberitahu setiap artis terlibat sudah berfikir secara masak sebelum mengambil keputusan untuk bersetuju untuk sertai.
ARTIKEL BERKAITAN: "Saya Tidak Rasa Gegar Vaganza Malukan Artis" - Ella
ARTIKEL BERKAITAN: Gegar Vaganza 11: Datuk Jamal Abdillah, Ruhil Amani Hussin, Azlina Aziz Antara Penyanyi Undangan, Semak Lagu Minggu Kelima Dengan Tema GV Hadir
“Persoalannya, siapa kita nak persoalkan rezeki masing-masing. Dari GV1 hinggalah sekarang, semua peserta GV mendapat suntikan semangat serta rezeki baru. Saya sendiri berkali-kali diajak masuk hinggalah akhirnya bersetuju.
“Pihak produksi, pihak media, memberikan sokongan tak berbelah bahagi terhadap semua peserta dari sebelum pengumuman sehinggalah final. Itukan rezeki namanya, di mana part ‘memalukan’ artis.
“Saya tahu dan yakin setiap artis yang turut serta telah fikir masak-masak sampai hangit dah kuali sebelum akhirnya setuju untuk join program ‘Pembuka rezeki baru’ ini,” kongsinya.
Nasihat & teguran
Pada perkongsian yang sama, Fazley turut menganggap segala komen yang diberikan barisan juri merupakan nasihat dan teguran yang diperlukan untuk menjadikan penyanyi itu lebih baik.
“Ramai pihak yang terlibat, dari tukang panaskan mood penonton, penjaga tandas di dewan konsert, pakcik jaga yang jaga parking, abang yang tolak trolley speaker, tukang vacum carpet bilik artis menunggu hinggalah warga production ke artis-artis dan pengurusan masing-masing.
“Takkanlah mereka semua ni pun ‘termalu’ sebab terlibat sama dalam menjaga artis-artis di atas pentas Komen pedas juri? Itu biasalah, saya punya kasut kilat setiap minggu kena komen pedas @datuksyafinazofficial, suara saya hari-hari kena tegur dengan @tokram_ramlims, ibu @hke57 sentiasa pesan untuk cari jiwa dalam persembahan walaupun kami dah macam nak terbang roh atas tu.
“Itu bukan memalukan, itu ilmu yang terlalu mahal yang bukan semua orang dapat. Kalau tak kena komen pedas, rugi la bro… takkan nak makan Daging Salai Lemak Cili Api letak laici? Mestilah kena masukkan cili padi berkilo-kilo baru ngam bro!” ujarnya lagi.
Satu keluarga
Dalam pada itu, Fazley yang pernah menyertai GV8 berkata sepatutnya kenyataan itu dikeluarkan dari musim pertama lagi bukannya selepas program tersebut menjadi punca rezeki ramai orang.
“Tak setuju tak apa, patutnya dari GV1 dah share komen macam tu, bukan bila program dah jadi punca rezeki ramai orang! Termasuk jadi rezeki pahala free bila segerombolan netizen membidas tajam.
“Saya dah jadi artis dari umur 17 tahun sampai sekarang dah 47 tahun. Semua warga seni dah jadi satu family besar. Jari kelingking terhiris pisau, setiap bulu roma di badan mesti seriau rasanya!
“Tak perlu letak cuka dalam sebelanga nasi kenduri! Chill saja dan enjoy the show ok?” katanya.