Berita
Fazley Yaakob Bakal Hasilkan Lagu Asmara Ini Dalam Bahasa Indonesia, Kerjasama Dengan Komposer Negara Jiran
Selepas hampir dua dekad, cef selebriti yang juga penyanyi Datuk Fazley Yaakob memberitahu bahawa lagu Asmara Ini yang pernah dipopularkan pada 2001 akan diberikan nafas baharu.
Menurut Fazley, lagu itu nanti akan mendapat sentuhan komposer daripada negara jiran untuk pasaran di Indonesia.
"Saya rasa kena kembali menghasilkan lagu-lagu melankolik kerana orang sukakan lagu sedemikian.
"Bahkan, saya juga ada menerima lagu-lagu daripada seorang komposer Indonesia yang mahu bekerjasama dengan saya. Bahkan, nanti akan ada lagu Asmara Ini dalam versi bahasa Indonesia untuk pasaran di sana," katanya kepada Gempak.
Jelas Fazley, disebabkan itu jugalah dia kerap ke negara jiran untuk menguruskan kerjaya seninya di sana.
"Bagi tahun 2020 ini, saya nak kotakan janji saya untuk hasilkan lagu-lagu baru.
"Bahkan, kalau tengok Instagram saya, orang akan nampak saya kerap ke Bandung," katanya.
Begitupun, Fazley tidak mendedahkan gerangan komposer yang bekerjasama dengannya bagi lagu terbaharunya nanti.
"Apabila saya dapat peluang begini, saya berasa teruja. Penulis lagu saya juga tidak kurang hebatnya kerana pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi popular Indonesia. Daripada tujuh buah lagu, saya pilih tiga," ceritanya.
Sebelum ini Fazley yang menceburi bidang seni pada 1995 mula dikenali menerusi lagu Asmara Ini yang merupakan karya ciptaan komposer Ajai.
Lagu tersebut mengangkat namanya sebelum beralih arah dalam dunia masakan selepas memenangi program realiti MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012.
Dalam pada itu, jangan lupa, saksikan program Fazley di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Must-Watch Video