Laman Utama
Fazura Anjur Konsert Dengan Tiket Mampu Milik, Bakal Dibarisi Artis Popular Tempatan Dan Indonesia
Pelakon Nur Fazura mengumumkan buat julung kalinya penganjuran konsert Faztival Fazura 2022 yang bakal diadakan pada 11 September depan.
Bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, konsert tersebut bakal menghimpunkan barisan artis popular dalam dan luar negara.
Menerusi sidang media yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini, Fazura berkata, dia berasa bersyukur kerana konsert yang mengumpulkan rakan-rakan artis yang dikaguminya itu akhirnya bakal terlaksana.
"Harga tiket pula sudah tentunya harga yang mampu milik. Ini kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura.
"Selain persembahan hebat artis yang saya kagumi ini, beberapa kejutan istimewa juga bakal kami tampilkan semasa konsert ini nanti," katanya.
Fazura menjelaskan, konsert tersebut dianjurkan bagi meraikan peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya dan juga rangkaian produk yang diasaskannya.
"Selain meraikan stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan pencapaian yang terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produk jenama Fazura.
"Saya harap penganjuran sulung Faztival Fazura ini berjaya supaya dapat dijadikan sebagai konsert tahunan," katanya.
Konsert Faztival Fazura 2022 diuruskan oleh Icon Entertainment dan tiket bakal dijual pada 19 Ogos ini dengan harga yang bermula dari RM147.
Konsert ini bakal dibarisi oleh penyanyi popular tempatan seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.
Dalam masa yang sama, ia turut disertai Ahmad Band dari Indonesia yang diketuai legenda muzik Indonesia, Ahmad Dhani bersama isterinya, Mulan Jameela.
Must-Watch Video