Fazura Kongsi Insiden Berdepan Dengan Penumpang Biadab Dalam Kapal Terbang; “Fatima Baru Dua Tahun, Sepupu Dia Pula Anak Syurga, Autistik”
Asyikin Mayudin
30/09/2022 02:55 MYT
30/09/2022 02:55 MYT
Bukan mudah untuk ibu bapa mengawal anak-anak kecil apatah lagi kanak-kanak istimewa yang berasa gementar ketika menaiki kapal terbang.
Pelakon Nur Fazura menerusi laman sosial miliknya bertanya pendapat netizen mengenai tindakan penumpang kapal terbang mengherdik ibu bapa yang dianggap tidak mengawal anak-anak kecil.
“Nak tanya ibu bapa seluruh Malaysia. Pernah tak anda semua bawa anak-anak kecil naik kapal terbang, dan mereka gementar dalam perjalanan di udara?
“Anak-anak kecil, macam Fatima baru nak masuk dua tahun. Sepupu Fatima pula anak syurga, autistik.
“Apa perasaan anda jika ada penumpang wanita lain mengherdik ‘kalau anda semua tak boleh kawal anak-anak, mereka tak patut terbang!’. Sambil menunjuk-nunjuk jari ke arah anak anda?” tulis Fazura.
Bagaimanapun tidak pasti insiden tersebut terjadi kepada keluarga Fazura yang baru sahaja pulang dari Langkawi sempena menyambut ulang tahun kelahirannya.
Rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman berdepan dengan insiden yang sama malah aktres Catriona Ross juga memahami situasi itu memandangkan dia mempunyai anak autistik.
“OMG how mean is that?! Sangat biadab! Semua orang harus lebih empati terhadap kanak-kanak terutama yang istimewa! Anak saya juga autistik. Semoga Allah memberi kesabaran dalam diri kita semua. Setinggi-tinggi kasih sayang dari saya kepada keluarga Fazz,” komen Catriona Ross.
Sementara itu, isteri kepada aktor Fattah Amin ini juga mendoakan agar semua ibu bapa diberikan kesabaran dalam menjaga anak-anak.
“Semoga Allah SWT memberikan kesabaran kepada semua ibu bapa terutama para ibu dalam menjaga amanahNya. Amiin,” tambahnya lagi.