HIBURAN
FDAM Tuntut Penjelasan Isu Gugur Nama Pengarah Filem 'Misteri Fraser 1910'
Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyuarakan kebimbangan serius berhubung pengguguran nama Shuhaimi Zulkefli sebagai pengarah filem Misteri Fraser 1910 daripada semua bahan promosi rasmi, termasuk poster utama tayangan.
Lebih mengejutkan, filem tersebut difahamkan telah menerima sokongan dana FAME daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sekali gus menjadikan perkara ini isu yang menyentuh integriti dan pengiktirafan profesional dalam industri perfileman negara.
Shuhaimi, yang juga ahli aktif FDAM, dilaporkan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek tersebut sejak dari fasa pembangunan awal, termasuk praproduksi serta pengarahan sewaktu penggambaran.
Namun, sebaik filem tersebut memasuki pascaproduksi, Shuhaimi dilaporkan tidak lagi dibenarkan terlibat dan langsung tidak menerima sebarang pengiktirafan sebagai pengarah utama. Namanya turut dikeluarkan sepenuhnya daripada semua bentuk bahan promosi rasmi filem berkenaan.
FDAM menyifatkan perkara ini sebagai tindakan yang tidak wajar, lebih-lebih lagi kerana filem tersebut dibiayai melalui dana kerajaan.
“Filem ini difahamkan telah mendapat sokongan dana FAME daripada FINAS, sekali gus menjadikan perkara ini sebagai satu isu yang memerlukan perhatian dan penjelasan sewajarnya daripada pihak-pihak berkaitan,” tegas FDAM dalam kenyataan mereka.
Menurut FDAM, situasi ini mencerminkan satu bentuk penafian hak terhadap penggiat seni kreatif.
“Nama beliau tidak langsung dipaparkan dalam poster rasmi filem tersebut, tidak dibenarkan terlibat dalam pascaproduksi, malah tiada pengiktirafan terbuka terhadap sumbangan beliau sebagai pengarah utama,” jelas kenyataan tersebut lagi.
Lebih memburukkan keadaan, Shuhaimi turut dilaporkan menerima ugutan tindakan undang-undang selepas membuat satu kenyataan awam yang didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak penerbit.
FDAM memandang perkara ini sebagai bukti wujudnya hubungan yang tegang dan tidak profesional dalam kerjasama antara pengarah dan penerbit.
“Perkara ini mencerminkan hubungan yang tegang dan tidak sihat dalam kolaborasi antara pengarah dan penerbit, yang sepatutnya dibina atas dasar profesional dan kontraktual yang jelas,” kata FDAM.
Dalam pada itu, Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki, menegaskan pendirian tegas persatuan terhadap isu ini.
“FDAM akan mempertahankan hak Shuhaimi Zulkefli sebagai pengarah sah filem tersebut, selaras dengan prinsip dan etika kerja yang termaktub dalam industri perfileman.”
Beliau turut menyeru agar pihak penerbit tampil memberikan penjelasan secara terbuka dan profesional berkenaan keputusan menggugurkan nama Shuhaimi daripada bahan promosi rasmi.
FDAM juga menggesa FINAS agar memainkan peranan dalam menyelesaikan perkara ini secara adil dan berhemah.
“FDAM memohon agar FINAS campur tangan dan mempertimbangkan penyelesaian secara berhemah dan adil, demi melindungi kepentingan semua penggiat industri dan memastikan kelestarian ekosistem kreatif negara,” ujar Afdlin lagi.
Dalam kenyataannya, FDAM turut menekankan bahawa tindakan mengenepikan sumbangan pengarah tanpa penjelasan munasabah boleh menjejaskan reputasi profesional serta mewujudkan kebimbangan dalam kalangan warga industri.
“Tindakan mengenepikan sumbangan pengarah tanpa penjelasan yang munasabah bukan sahaja memberi kesan terhadap reputasi profesional individu, malah boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggiat industri yang bimbang terhadap hak mereka yang berpotensi dinafikan dalam keadaan serupa," tambahnya.