Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Fesyen Songkok Bersampin Separuh Bogel, Kel Wen; "Saya Tak Berniat Nak Ejek Mana-Mana Agama"

Amri Hassan
24/08/2022 00:55 MYT
Bersongkok, bersampin tapi separuh bogel? Itu yang netizen lihat menerusi penampilan pereka fesyen jenama Behati, Kel Wen ketika menghadiri acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini.

Hal itu sedikit sebanyak telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan warganet yang sekali gus menganggap tindakan Kel Wen seolah-olah cuba mempersendakan agama Islam.

Bagaimanapun, Kel Wen menerusi hantaran di Instagramnya tampil menjawab tuduhan netizen, menjelaskan tiada niat untuk mengejek mana-mana agama.

"Saya baca komen-komen kalian, secara seriusnya saya tiada niat langsung untuk mengejek mana-mana agama.

"Islam sangat indah dan saya membesar dalam kalangan Muslim di Malaysia telah mempengaruhi seni dan gaya saya," ujarnya.

Tambah Kel Wen lagi, orang ramai terutama pengguna media sosial perlu menyelidik terlebih dahulu tentang fesyen dan berjaga-jaga dalam setiap pertuturan serta kata-kata.

"Ini untuk haters yang tidak membuat kajian mereka. Kamu tidak perlu menerimanya (gaya) hanya kerana stail ini bukan menjadi kelaziman bagi lelaki tempatan.

"Dalam masa sama tolonglah jaga mulut kalau kamu mahu dianggap contoh 'bersederhana' yang tepat.

"Untuk dinilai bersederhana itu bukan dinilat semata-mata atas apa yang anda pakai, tapi juga apa yang kamu tuturkan," tambahnya.



Dalam hantaran tersebut, Kel Wen turut berkongsi sejarah permulaan songkok dalam komuniti Melayu, selepas dibawa oleh Muslim India ke Asia Tenggara sekitar abad ke-19.

"Orang Melayu dulu hanya memakai kain sarung dan tidak berbaju. Saya pula memakai seluar pendek di sebalik sampin.

"Songkok dan seluar pendek tidak menjadi isu pada tahun 1941, pernah dipakai oleh lelaki Melayu dalam Rejimen Askar Melayu di Singapura.



"Songkok merupakan aksesori kepala, bukan secara keseluruhan dipakai untuk tujuan solat. Di Malaysia, ia menjadi rumit apabila bangsa berlainan memakai songkok untuk tujuan berbeza, yang mana saya lihat ia satu penerimaan keharmonian.

"Saya tak pakai songkok dengan seluar dalam seksi yang mendedahkan bahagian sensitif tubuh saya. Mendedahkan lutut sama juga seperti lelaki Melayu lain berfesyen hari ini.

"Menunjukkan lutut dan memakai songkok sama seperti konsep wanita berhijab memakai tudung dengan leher terdedah, dan memakai sut formal dengan skirt pendek untuk acara rasmi.

"Ia akan menjadi tidak sopan jika saya memakai (songkok dan sampin sahaja) untuk sembahyang, tapi secara jelas saya memakainya di pentas runway.

"Saya bukan Muslim, tapi saya pakai songkok, menunjukkan bahawa saya menerima dan belajar tentang agama Islam dalam kehidupan saya. Kalau anda tak boleh menerimanya, itu bermaksud anda rasis," tulisnya lagi.



Kel Wen menerusi jenama Behati turut mempamerkan koleksi terbaharu PERANAKAN yang merupakan kisah perkahwinan antara bangsa yang berbeza.

Rekaan terakhir yang digayakan oleh wajah ilham (muse) pada KLFW2022 iaitu Datuk Seri Vida merupakan interpretasi pertembungan budaya dalam fesyen.

#Viral #Datuk Seri Vida #Netizen #DSV #Vida #Kecam #KLFW #Separuh Bogel #Behati #Kel Wen #Peranakan #Sampin #Songkok
;