Susulan tular video bersama beberapa ekor anjing peliharaan, pelakon Fezrul Khan akhirnya tampil menjelaskan perkara tersebut.

Sukar membentang hujah untuk berdebat dengan netizen, Fezrul bagaimanapun berkata dia lebih berpegang kepada Al-Quran berbanding mazhab yang sedia maklum.

“Susah saya nak cakap la sebab banyak sangat mazhab. Kalau diikutkan, saya lebih ikut kepada Al-Quran. Apa-apa pun saya akan rujuk Quran dulu.

“Sebab Allah SWT turunkan Al-Quran, bukan mazhab. Bila saya tak faham dengan Al-Quran, barulah saya jumpa ustaz,” katanya kepada Gempak.

Fezrul menjelaskan perkara itu ketika sesi sidang media secara maya bagi mempromosikan drama terbaharu berjudul Aku Seorang Perempuan pada Rabu.

Selain itu, Fezrul memberi saranan kepada masyarakat untuk lebih banyak membaca dan mendalami ilmu atau panduan dalam Al-Quran dari hanya mendengar ceramah umum semata-mata.

“Kadang-kadang ada orang yang cuma mendengar sahaja apa yang penceramah bebas itu cakap, itu dan ini. Mereka mudah percaya tapi bacanya tidak.

“Walhal dalam dunia ini, ada banyak mazhab yang berbeza. Di Malaysia lain, di negara luar lain pun berbeza. Macam di Kaabah pun kalau orang tanya kenapa ada anjing, askar akan jawab no problem,” ujarnya lagi.

Fezrul sebelum ini pernah berkongsi video memperlihatkan dia memegang anjing peliharaan dipercayai dalam kediamannya menjadi bahan bualan netizen.

Menerusi video berdurasi 13 saat itu, Fezrul memanggil haiwan peliharaannya itu dengan nama panggilan Chibi dan difahamkan haiwan itu daripada jenis K9 yang juga anjing pengesan polis.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!