Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

FFM32: Spilt Gravy Dominasi 14 Pencalonan!

Syafiqah Jalal
25/11/2022 09:25 MYT
Festival Filem Malaysia ke-32 ( FFM32), menyaksikan filem Spilt Gravy arahan Datuk Zahim Al-Bakri mendominasi dengan 14 kategori dalam 26 kategori yang dipertandingkan.

Antara pencalonan tersebut adalah Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Harapan.

Manakala filem Air Force The Movie Selagi Bernyawa pula meraih 13 pencalonan dengan antaranya menerusi Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik.

FFM32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember depan memperlihatkan Abang Long Fadhil 3 mendapat sembilan pencalonan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menganjurkan Majlis Sidang Media Kedua Festival Filem Malaysia (FFM32) yang telah diadakan di Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Majlis ini telah diadakan bagi memberikan penerangan dan maklumat terperinci berkenaan dengan persiapan penganjuran FFM32 yang bakal diadakan pada 2 November 2022 di Encore, Melaka.

Acara nasional berprestij ini adalah merupakan inisiatif pihak Kerajaan membangunkan platform festival filem nasional yang berprestij untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan karyawan industri perfileman tanah air.

Selain itu, FFM32 bertujuan menjana jaringan dan kerjasama strategik di antara Kerajaan dan pihak industri dengan pelaksanaan program-program yang mengangkat profesionalisme para pemain seterusnya menjadikan FFM32 sabagai satu platform manifestasi kepada usaha pembudayaan sinema kepada masyarakat melalui karya-karya berkualiti bagi mewujudkan sistem sokongan kepada pemerkasaan industri.

Bertemakan 'Filem Kita, Citra Kita' edisi FFM32 pada tahun ini selari kepada penjenamaan dan kecemerlangan penerbitan filem tempatan yang bergerak secara progresif seiring dengan pembangunan kualiti dan kandungan beridentitikan nilai tempatan serta berjaya mencipta impak di peringkat domestik dan antarabangsa.

Saksikan secara langsung Malam Anugerah FFM32 di TV2 pada jam 9.00 malam.

#Festival Filem #FFM32