Insan istimewa yang juga penyanyi Fiena, akui teruja selepas empat tahun single keduanya berjudul ‘Folio Cinta’ dilancarkan.

Berkongsi mengenai lagu “Folio Cinta”, Fiena yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, “Folio Cinta” adalah hasil tugasan bagi projek aplikasi orang buta seluruh dunia iaitu ‘TeamTalk’.

"Lagu Folio Cinta dihasilkan dua tahun lalu yang mana ia adalah tugasan yang diberikan dalam aplikasi TeamTalk. Aplikasi ini membabitkan orang buta di seluruh dunia.

"Bagi melihat sejauh mana perkembangan kami dalam aplikasi ini, jadi setiap orang diberikan tugasan. Saya memilih untuk menghasilkan lagu. Ketika sedang bersantai dalam bilik, idea datang dan saya terus buat lagu dan lirik.

"Walaupun tempoh seminggu diberikan untuk menyiapkan tugasan ini, tapi saya dapat hasilkan dalam masa sehari saja," katanya.

Fiena berkata, dia juga tidak menjangka apabila lagu “Folio Cinta” menjadi pilihan pihak Nova Music untuk diterbitkan sebagai single terbaharu.

"Kebetulan pihak Nova Music minta lagu baharu. Jadi, saya pun beri dua lagu. Tapi, mereka memilih lagu Folio Cinta ini. Sebab diberikan, lagu ini seperti kesinambungan lagu pertama saya dulu.

"Alhamdulillah, lagu ini sudah siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2019 dan akan dilancarkan tidak lama lagi. Sudah pasti saya berharap lagu ini akan diterima baik pendengar dan peminat seperti single terdahulu," katanya.

Fiena yang mempunyai bakat menyanyi sejak berusia dua tahun berkata, lirik lagu “Folio Cinta” tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.

"Lagu Folio Cinta ini bersifat keseluruhan. Walaupun ia mengenai kisah pasangan kekasih yang curang dan kemudian ingin kembali kepada teman wanitanya, tapi ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.

"Ini idea saya sendiri. Saya hanya buat berdasarkan apa yang terlintas di fikiran," katanya.

Fiena, 22, atau nama sebenarnya Nur Zafiena Anissa Zaini berkata Folio Cinta sekali gus menjadi penamat kepada jalan cerita lagu terdahulu, ’Tuhan Jagakan Dia’.

Folio Cinta terbitan Nova Music sudah dilancarkan di semua pelantar striming muzik digital pada Jumaat lalu.

Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.