Laman Utama
Fify Azmi Antara Yang Terkandas Di Pulau Perhentian – “Cuak, Tapi Reda...Alhamdulillah Selamat"
Pelakon Fify Azmi antara 385 pelancong yang terkandas di Pulau Perhentian, sejak Jumaat lalu kerana keadaan laut bergelora dan angin kencang.
Fify ketika dihubungi Gempak berkata, dia kini sudah selamat tiba di Jeti Kuala Besut menaiki bot pelancong yang masuk ke pusat peranginan tersebut untuk misi menyelamat.
“Alhamdulillah, saya selamat tiba di Kuala Besut. Pagi tadi bot dah mula masuk dan cuaca hari ini juga bertambah baik bebanding dua hari lalu.
“Terima kasih kepada yang mendoakan keselamatan saya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” kata Fify yang berada di Pulau Perhentian sejak lima hari lalu.
Dalam pada itu, pelakon Wira ini turut menasihati orang ramai agar tidak masuk ke pulau dalam masa terdekat ini.
“Sebelum ke Pulau Perhentian, ramalan kaji cuaca menunjukkan keadaan baik tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
“Perkara ini tidak dijangka, sama sekali tidak. Hanya tuhan sahaja tahu perasaan saya ketika angin kencang berlaku. Cuak juga tapi reda.
“Saya ingin menasihati orang ramai agar tangguhkan dulu hasrat untuk bercuti di pulau di pantai timur dalam masa terdekat.
“Mungkin pertengahan Mac nanti adalah waktu yang sesuai,” katanya.
Sejak pagi tadi, 15 bot pelancong masuk ke Pulau Perhentian untuk membawa keluar kesemua pelancong termasuk 18 kanak-kanak dan dua bayi.
Keadaan cuaca juga dilaporkan semakin baik dan laut tidak lagi berombak kuat membolehkan kesemua pelancong dibawa keluar.
Kesemua pelancong yang menginap di 19 hotel dan resort di Pulau Perhentian itu terkandas sejak Jumaat lepas ekoran keadaan laut bergelora dan angin kencang.
Situasi tersebut menyebabkan operasi perkhidmatan bot di pulau peranginan itu terpaksa dihentikan.
Must-Watch Video