HIBURAN

Fikir Soal Anak Antara Sebab Shila Amzah Tolak Gelaran Datuk - “Saya Mahu Mereka Rasa Bebas Tanpa Perlu..”

Asyraf Roslan 01/02/2025 | 08:55 MYT

Penyanyi, Shila Amzah mendedahkan sebab mengapa dia enggan menerima gelaran Datuk kerana tidak yakin boleh membawa gelaran itu dengan baik.

Jelas pelantun lagu Patah Seribu itu, dia sangat selesa dengan namanya tanpa ada sebarang darjah kebesaran yang mungkin akan memberikannya banyak tanggungjawab untuk digalasnya kelak.

“Bayangkan semasa saya ditawarkan gelaran tersebut saya belum berkahwin , cuba bayangkan tekanan yang diletakkan atas nama seorang wanita bila ada gelaran itu. Jika saya terima pada ketika itu saya tidak yakin yang saya boleh bawa gelaran itu.
“Sebab saya tahu bila dapat gelaran itu, banyak tanggungjawab yang saya kena galas. Saya sememangnya tidak mampu. Jadi saya rasa dengan nama Shila Amzah itu sudah memadai untuk saya,” jelas Shila.
Selain itu, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 34, juga menyatakan enggan menerima gelaran itu kerana memikirkan soal anak-anaknya.
Isteri kepada pempengaruh, Ubai itu juga berkata dia tidak mahu masyarakat mempunyai stigma terhadapanya dan juga anak-anak terpaksa menanggung beban hanya kerana perlu menjaga nama baiknya yang bergelar Datuk.
“Saya juga fikir panjang, contoh kalau saya hantar anak saya ke sekolah kebangsaan, mesti akan ada orang kata saya mempunyai pangkat kenapa hantar anak ke sekolah kebangsaan. Seorang anak saya autism dan seorang lagi perempuan, nanti apa-apa akan ada kata tengok anak datuk tu.
“Betapa saya berat membawa nama bapa sebagai artis, mereka juga akan berat untuk membawa nama saya dan ditambah pula jika saya mempunyai gelaran datuk.
“Jadi saya tidak mahu mereka ada kehidupan itu, saya mahu mereka rasa bebas dan tidak perlu terasa beban untuk menjaga nama atau empayar yang sudah saya bina. Saya mahu mereka rasa bebas untuk melakukan apa yang mereka mahu tanpa beban,” kata Shila kepada Gempak.
Shila ditemui media ketika menghadiri Majlis Makan Malam bersama Vaganzers yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Terdahulu, Shila mendedahkan dia pernah ditawarkan gelaran Datuk namun terpaksa menolak secara baik kerana lebih selesa menjadi diri sendiri tanpa memikirkan pangkat.
Perkongsian tersebut diluahkan selepas Ubai membacakan komen pengikut yang menyatakan Shila sudah layak bergelar Datuk atas sumbangannya kepada industri seni.

Pada masa sama, artis yang menempa nama di China itu sempat berseloroh dengan suaminya dia hanya menunggu gelaran datuk dan nenek selepas anak mereka berkahwin kelak.

#Anak #Shila Amzah #Gelaran Datuk